SEREMBAN – Ajinomoto (Malaysia) Berhad (AMB) terus memperkukuh komitmennya dalam menyokong pembangunan bakat muda apabila meneruskan kerjasama dengan Leave a Nest Malaysia (LVNSMY) menerusi penganjuran Science Castle Grant 2025 – Ajinomoto (Malaysia) Berhad Award.
Inisiatif ini bertujuan membimbing dan memberi sokongan kepada penyelidik muda berkecimpung dalam bidang sains dan inovasi, sejajar dengan usaha memperkasakan pendidikan dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di negara ini.
Menurut Pengarah Eksekutif AMB, Yong Kum Cheng, kerjasama strategik bersama LVNSMY ini mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam menggalakkan minat dan penglibatan generasi muda terhadap bidang STEM.
“Sebagai sebuah syarikat, kami berbangga dapat menyumbang serta memberi tunjuk ajar dalam usaha memupuk minat dan penglibatan generasi muda dalam bidang STEM.
“Kejayaan pelajar dalam bidang penyelidikan itu seterusnya nanti akan dapat memenuhi kehendak industri pada masa hadapan,”katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian Geran ” Science Castle Grant 2025″-Ajinomoto (Malaysia) Berhad Award di Bandar Enstek di sini, hari ini.
Majlis penyampaian geran tersebut disempurnakan Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif AMB, Daisaku Wadami, serta Pengarah Urusan LVNSMY, Abdul Hakim Sahidi.
Menurutnya, data terkini menunjukkan peningkatan positif dalam penglibatan pelajar sekolah menengah dalam bidang STEM.
“Disebabkan itu, kami menerima penyertaan yang sangat memberangsangkan dengan lebih 500 penyertaan dari sekolah menengah di seluruh Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak.
” Daripada jumlah itu, hanya 10 pasukan terbaik telah dipilih, dan menerima geran Science Castle bernilai RM2,000 sebagai dana asas penyelidikan mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE