Minggu ini minggu emosi. Ada tiga kejadian besar yang meruntun emosi rakyat Malaysia hingga memaksa air mata mengalir deras.
Pertama kejadian pasangan suami isteri yang parah dirempuh trak pikap di Plaza Tol Jalan Duta. Kedua anak gajah mati dirempuh lori di Jalan Raya Timur-Barat Gerik-Jeli dan ketiga kematian sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Perak.
Kejadian di Plaza Tol Jalan Duta pada pukul 2.30 petang 10 Mei lalu membangkitkan kemarahan selepas netizen melihat rakaman video yang tersebar di media sosial.
Dalam sekelip mata, sebahagian mereka bertukar menjadi ‘pegawai penyiasat’.
Dapat sahaja maklumat, habis segala butiran mengenai pemiliknya dikorek dan dihidangkan di media sosial untuk ‘dikendurikan’.
Netizen akhirnya ‘kalah’ apabila pemilik trak pikap itu tampil menafikan bahawa bukan dia yang memandu kenderaan itu ketika kejadian.
Kalau dilihat dari air mukanya selepas membuat laporan penafian di balai polis, kita boleh rasakan yang dia dalam keadaan yang amat tertekan dan takut selepas menerima pelbagai ancaman.
Itulah bahananya jika mahu menjadi ‘wartawan’ dan ‘pegawai penyiasat’ tak bertauliah. Jika maklumat yang disebarkan itu benar tidak mengapa, ini kurang tepat. Sudahlah tersilap, orang yang tidak bersalah pula menerima akibatnya.
Tidak dinafikan rakyat Malaysia amat prihatin untuk perkara seumpama itu tetapi kita diajar untuk mendapatkan kepastian dan pengesahan terlebih dahulu sebelum berkongsi atau mempercayai sesuatu berita.
Dalam dunia media sosial tanpa batasan, kita sering tersalah langkah apabila melihat pada yang tersirat dan tidak mempedulikan kebenaran yang akan datang selepasnya. Kecam dahulu, kebenaran kemudian. Begitulah ibaratnya.
Begitu juga dengan kes anak gajah yang mati terperosok di bawah lori pada 11 Mei lalu. Di sebalik kesedihan melihat reaksi si ibu gajah, sebahagian netizen terus meletakkan kesalahan kepada pemandu kenderaan berat itu.
Keadaan itu memaksa ahli keluarga pemandu lori tampil menjelaskan keadaaan. Seseorang pemandu itu tidak akan dapat mengelak sekiranya ada haiwan yang tiba-tiba melintas ketika kita sedang bergerak.
Dalam jarak yang terlalu dekat, tidak mungkin dia sempat berbuat apa-apa walaupun kaki sudah menekan pedal brek.
Pasti ada dalam kalangan pembaca yang pernah berdepan dengan situasi haiwan melintas secara tiba-tiba seperti anjing, ayam, kucing, babi dan sebagainya ketika memandu. Bagaimanakah kita menangani situasi cemas ketika itu?
Bukanlah penulis hendak memenangkan mana-mana pihak tetapi sebaiknya kita berhati-hati sebelum mengulas mengenai sesuatu kejadian yang belum pasti apa puncanya.
Luluh hati kita melihat situasi si ibu gajah yang setia menunggu di sisi bangkai anaknya. Bersama kita tunggu hasil siasatan penuh pihak berkuasa.















