IPOH – “Biasanya suami akan mencium dahi saya sebelum keluar bertugas, namun pada pagi itu dia tak buat.”
Itu luahan isteri Allahyarham Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, 33, anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang maut dalam kemalangan dengan lori muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan semalam,
Haswati Rosdi, 44, berkata, menjadi rutin dia bersalaman dengan suaminya dan lelaki itu akan mengucup dahi sebelum meninggalkan rumah untuk ke tempat kerja.
“Bagaimanapun, dia (suami) tak buat seperti biasa dan keluar meninggalkan rumah untuk pergi bertugas. Saya hanya sempat bersalam dan berpesan supaya dia berhati-hati.
“Pada hari kejadian, suami ada menghantar gambar kepada saya pada pukul 8.35 pagi dan memaklumkan dalam perjalanan pulang ke rumah. Dia beritahu rasa mengantuk.
“Pada pukul 8.50 pagi, saya terima khabar suami terbabit dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kuarters FRU Sungai Senam di sini hari ini.
Haswati memberitahu, dia sempat meluangkan masa pada Isnin lalu untuk bersarapan buat kali terakhir dengan suaminya.
Sementara itu, anak tiri Allahyarham, Qaidah Thaqifah Mohd. Yuslee, 23, berkata, bapanya seorang yang baik dan menjaga mereka seperti darah daging sendiri.
Bahkan Damarrulan turut menjaga ibunya yang diserang strok pada tahun 2019 sehingga wanita tersebut pulih.
Kosmo! Online semalam melaporkan sembilan anggota FRU maut dalam kemalangan membabitkan trak pasukan itu dan sebuah lori muatan batu di Teluk Intan pagi semalam.
Mangsa yang maut ialah Koperal Mohd. Pozli Jaudin, 41, Koperal Mohamad Hilmi Mohd. Azlan, 38, Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28, Koperal Amiruddin Zabri, 38, dan Koperal Muhamad Akmal Muhamad, 35.
Turut terkorban ialah Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, 33, Sarjan Mohd. Roslan Abd. Rahim, 46, Sarjan S. Perumal, 44, dan Koperal Nurit Pandak, 34.- KOSMO! ONLINE