JAKARTA – Seorang penghibur jalanan berusia 16 tahun mengundang perhatian ramai apabila mencuri emas seberat 2.4 gram ketika meminta sedekah di sebuah premis di wilayah Sumatera Utara, lapor laman berita Kompas.
Kejadian berlaku di sebuah kedai emas dekat Jalan Jenderal Sudirman, Kota Binjai baru-baru ini.
Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang dimuat naik di platform TikTok memaparkan suspek dikenali sebagai A, meminta sedekah daripada pelanggan.
Ketika kakitangan sibuk berbual dengan pelanggan, dia perlahan-lahan mengambil barang kemas yang terletak di atas meja kaca sebelum beredar.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Binjai, Inspektor Rino Heriyanto berkata, kandungan emas dalam barang kemas itu sebanyak 70 peratus.
“Mangsa mengalami kerugian sekitar 3.6 juta rupiah (RM940). Siasatan sedang giat dijalankan,” tambah Rino. – AGENSI