BANGKOK – Seorang lelaki warga Israel ditahan kerana menjalankan perkhidmatan sewa motosikal secara haram di wilayah Surat Thani, Thailand, lapor portal berita Bangkok Post.
Suspek, Pavel Fadeev, 38, diberkas di rumah sewanya di sebuah perkampungan dekat daerah Koh Phangan kelmarin.
Polis tempatan turut merampas 15 buah motosikal, 15 topi keledar yang rosak akibat kemalangan,109 kunci pendua, 51 buku pendaftaran dan 386 kontrak sewa.
Inspektor Penyiasatan Wilayah, Mejar Charoenchai berkata, hasil pemeriksaan mendapati bahawa Fadeev memperoleh keuntungan sebanyak 3 juta baht (RM390,000) pada tahun lepas.
“Suspek mengaku memiliki perniagaan itu dan merupakan pengarah urusan bagi syarikat Waves Company Ltd yang beribu pejabat di Phuket.
“Dia mempunyai permit kerja sebagai pengurus dan berpindah ke Koh Phangan untuk menjalankan perkhidmatan sewa itu,” kata Charoenchai.
Tambah Charoenchai, pelanggan akan menghubungi suspek melalui satu laman web.
“Dia membeli motosikal-motosikal tersebut dengan harga murah daripada warga Israel dan Thailand di laman Facebook,” tambah Charoenchai.
Siasatan masih giat dijalankan. – AGENSI