fbpx
REKAAN luarannya tampak elegan tetapi ringkas dengan gaya Skandinavia.

EX90 SUV elektrik keluarga dengan gaya Skandinavia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

VOLVO EX90 sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) keluarga yang direka untuk menjadi kenderaan paling selamat.

SUV elektrik dengan konfigurasi tujuh tempat duduk itu mencipta sejarah apabila diumumkan sebagai pemenang World Luxury Car of the Year 2024 di pentas anugerah automotif berprestij, World Car Awards baru-baru ini.

EX90 model pertama daripada Volvo yang hadir dengan teknologi litar serta dikuasakan sepenuhnya oleh perisian pintar dan dibina di atas sistem perkakasan untuk menyokong pemanduan autonomi pada masa hadapan.

Di Malaysia, hanya satu varian EX90 ditawarkan iaitu Ultra Twin dengan spesifikasi kuasa dan trim paling tinggi selepas dilancarkan pada awal bulan April lalu.

Dari sudut reka bentuk, EX90 menampilkan sentuhan elegan Skandinavia yang ringkas, di mana rekaan luarnya mementingkan elemen aerodinamik dengan pemegang pintu tersembunyi, cermin rata dan garis badan melengkung yang menyumbang kepada pekali seretan serendah 0.29.

Reka bentuk EX90 menyerlahkan pendekatan minimalis dan elegan Volvo dengan reka bentuk luaran lebih menyerupai model EX30 tetapi bagi versi kenderaan lebih besar.

SUV elektrik itu menampilkan lampu hadapan LED piksel dengan bentuk signatur ‘Tukul Thor’ yang diperkemas dengan rim bersaiz 21 inci.

Di bahagian belakang, EX90 tampil dengan lampu belakang berbentuk C sama seperti model kenderaan elektrik (EV) Volvo paling kecil EX30.

DI bahagian belakang EX90 tampil dengan lampu belakang berbentuk C.

EX90 ini boleh dianggap sebagai model penawaran EV untuk kereta Volvo XC90 yang masih menggunakan enjin pembakaran dalaman (ICE) dengan skala saiz lebih besar.

Namun, EX90 dibangunkan menerusi platform evolusi SPA2 Volvo yang direka khas untuk kenderaan elektrik.

Dari segi dimensi, EX90 berukuran panjang 5,037 milimeter (mm) dan 1,964mm lebar, 1,747mm tinggi dengan jarak antara roda 2,985mm.

Walaupun dinamakan Ultra Twin di Malaysia, EX90 hadir dengan perisian Performance AWD (pacuan semua roda) yang menghasilkan kuasa maksimum 380 kW (517hp) dan tork 910Nm.

SUV berkenaan mampu memecut dari pegun ke 100 kilometer sejam (km/j) dalam hanya 4.9 saat pada had kelajuan maksimum 180 km/j.

Ia dibekalkan dengan pek bateri Nikel Mangan Kobalt (NMC) berkapasiti 111kWj dan mampu mencapai jarak gerak sejauh 623 kilometer (km).

Bagi pengecasan pantas (DC), bateri boleh dicaj dari 10 ke 80 peratus dalam masa sekitar 30 minit sahaja.

Meninjau ke ruangan kabin, EX90 dilengkapi paparan kluster instrumen digital 9.0-inci dan skrin infotainment menegak bersaiz 14.5-inci.

Selain itu, sambungan Apple CarPlay tanpa wayar juga disediakan dengan kelengkapan lain termasuklah sistem audio Bowers & Wilkins 3D dengan 25 pembesar suara.

Upholsteri kabin SUV elektrik ini menggunakan material kulit, kemasan kayu Birch dengan konsep rekaan minimalis.

Pelanggan boleh memilih antara kemasan dalam kabin warna Charcoal atau Cardamom.

Bukan itu sahaja, ruangan kargo amat praktikal dengan butang kawalan bagi lipatan kuasa tempat duduk baris ketiga dan fungsi penurunan suspensi belakang turut disediakan di bahagian sisi kanan ruang but, menjadikan pemuatan barang lebih mudah.

Amat selesa dan selamat sebagai SUV keluarga, pemandu dan penumpang akan menikmati ciri-ciri premium seperti bumbung kaca panoramik, kawalan suhu empat zon, tempat duduk hadapan dengan fungsi urutan serta sistem suspensi udara bersama pelarasan adaptif.

Dari segi keselamatan, ia turut menampilkan lima radar, lapan kamera luaran, dua kamera dalaman dan 16 sensor ultrasonik untuk melengkapkan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS).

EX90 akan dijual bagi unit import siap pemasangan (CBU) dengan harga runcit disyorkan RM442,888 untuk Semenanjung Malaysia dan RM442,648 untuk Sabah dan Sarawak.

Kesimpulannya, penulis berpandangan EX90 amat praktikal sebagai SUV keluarga bagi pelanggan yang mahu beralih kepada model EV dengan ciri-ciri lengkap dari segi keselamatan dan teknologi termaju yang ditawarkan. Tepuk dada tanya selera.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN