SEBERANG PERAI – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dipercayai terjatuh dari Jambatan Seri Ampangan, Jalan Bukit Panchor di Nibong Tebal, di sini semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM negeri, John Sagun Francis berkata, usaha mengesan V. Dinesh, 26, bersambung pagi tadi.
“Kita menerima laporan berhubung kejadian terbabit kira-kira pukul 7.04 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Berdasarkan keterangan pengadu, mangsa telah terjun dari jambatan dan turut meninggalkan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR di lokasi kejadian.
“Justeru, operasi mencari dan menyelamat dijalankan dengan menggunakan bot aluminium di sekitar tempat kejadian selain menggunakan kaedah ‘Water Surface Searching’,” katanya.
Operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Bantuan Sukarela (PBS) Nibong Tebal dan Sungai Jawi.
Mana-mana individu yang mempunyai masalah kemurungan atau menghadapi tekanan boleh menghubungi Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) di 03-29359935 atau 014-3223392 atau Talian Kasih 15999/WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999. – KOSMO! ONLINE