ANDA pasti mempunyai set pancing kegemaran tidak kira joran atau kekili. Bagi saya, kekili dalam artikel ini mempunyai nilai sentimental yang amat mendalam. Sebab itu saya tidak sesekali meminggirkan kekili ini walaupun ada banyak kekili penganti lain.
Kekili ini dikilangkan pada tahun 2009 dan saya dapat memilikinya pada pertengahan tahun sama. Warna asal kekili ini yang kebiruan telah menjadikannya sedikit sukar untuk dipadankan dengan joran berwarna serupa.
Selepas beberapa bulan pencarian joran, saya mengambil keputusan untuk padankan kekili ini dengan joran berprestasi tinggi, walaupun warna kedua-duanya langsung tidak sepadan.
Oleh kerana joran ini mempunyai poundage rating 5-16lb, ia secara tak langsung menjadikan set berkenaan sangat versatil.
Terus, ia menjadi set kegemaran untuk setiap pengembaraan saya dalam dunia pancing.
Setelah lama dipakai dan diasak oleh pelbagai spesies ikan, saya mengambil keputusan untuk membaik pulih kekili ini.
Lerai, label dan susun
Selain menyediakan kelengkapan asas seperti alatan membuka kekili dan pelincir yang bersesuaian.
Segala aktiviti peleraian kekili ini harus dilakukan di tempat luas dan bersih bagi mengelak segala komplikasi seperti kehilangan alat atau bahagian yang kecil.
Rajah skematik juga perlu ada kerana ia merupakan rujukan utama ketika meleraikan kekili. Setiap bahagian yang dibuka perlu disusun dengan rapi sebelum dibersihkan menggunakan pembersih minyak gris (degreaser) sesuai.
Setiap bahagian yang telah saya bersihkan kemudiannya dimasukkan ke dalam bekas bertutup secara tersusun bagi memudahkan pemeriksaan dan pemasangan nanti.

Alat ganti
Ketika mengarau kekili ini, ia terasa kasar dan terdapat bunyi seakan besi bergesel. Main gear dan pinion gear perlu ditukar baru. Ini kerana, ia merupakan bahagian utama yang menggerakkan kekili.
Setelah diperiksa, ternyata gigi gear telah haus dan ada yang mempunyai kesan sumbing.
Mencari dan membeli bahagian yang rosak sangat mudah secara online. Sebelum membuat sebarang pesanan, pastikan model kekili serta tahun dikilangkan betul termasuk jenis kekili kayuhan kanan atau kiri.
Oleh kerana kekili ini model lama, bahagian asal sudah tidak dijual dan saya hanya mampu menempah bahagian yang serupa dan padan untuk dipasang.
Pinion gear kekili ini asalnya diperbuat daripada aluminium yang tahan karat. Namun, yang ada di pasaran pula diperbuat daripada tembaga.
Ini tidak menjadi masalah kerana tembaga mempunyai kekerasan dan ketahanan lebih tinggi berbanding aluminium.
Selain main gear dan pinion gear, saya juga menukar semua ball bearing lama.
Saya menggunakan angkup vernier untuk mengukur saiz bagi setiap bearing.

Format asas untuk saiz bearing adalah (ukur diameter lubang bearing x diameter keseluruhan bearing x ketebalan bearing).
Format ini boleh digunakan untuk membuat carian saiz secara online.
Setelah menyenarai kesemua ukuran saiz bearing dalam unit milimeter, saya membuat tempahan bearing jenis ceramic hybrid.
Bearing ini mempunyai ketahanan karat yang tinggi, selain memiliki kadar geseran lebih rendah berbanding bearing asal.
Dari segi luaran pula, banyak cat yang telah menggelembung serta tertanggal, selain kesan calar balar. Sementara menunggu alat gantian sampai, bingkai kekili ini pula dihantar ke tukang cat.
Untuk bahagian-bahagian luaran lain yang telah rosak seperti body plate, wind screw, lock nut dan knob, saya tukar dengan alat ganti after market berwarna ungu agar ia padan dengan joran sedia ada.
Manakala bahagian-bahagian yang rosak dan tiada alat ganti seperti front cover dan thumb bar, saya tukar dengan alat ganti tulen.
Ujian lapangan
Setelah kesemua barangan sampai dan dipasang. Saya mengadakan beberapa ujian lapangan untuk memastikan keserasian alat-alat ganti yang baru dipasang.
Barulah saya jumpa beberapa isu untuk diperbaiki lagi.
Isu pertama adalah kedudukan worm gear sedikit longgar ketika tali dikarau, sekali gus menyebabkan penyusunan tali tidak sempurna.
Ini berpunca daripada E type circlip yang sudah haus dan tidak mencengkam.
Akibatnya, ia tidak berada pada kedudukan yang betul ketika melakukan karauan.
Angkup vernier sekali lagi membantu saya mengukur E type circlip yang ingin ditempah.
Selain itu, saya juga menempah washer yang melapik circlip ini dengan pelbagai ketebalan agar ia dapat disesuaikan dengan kedudukan worm gear.
Saya juga dapati keadaan line guide sudah lusuh serta terdapat beberapa tompok karat.
Ia digantikan dengan set yang baharu bagi memastikan prestasi kekili ini dalam keadaan terbaik.
Isu kedua adalah bunyi bising ball bearing ceramic hybrid yang terletak pada spool dan side plate.
Ini adalah perkara biasa bagi bearing jenis itu, namun ia agak kurang menyenangkan bagi saya.
Oleh itu, saya telah menggantikan kedua-duanya dengan bearing jenis stainless steel yang berjenama baik.
Hasilnya, kekili ini rasa seakan-akan baharu. Setiap balingan dan karauan sangat lancar.
Saya sangat berpuas hati dengan hasil selepas baik pulih kekili ini walaupun ia memakan kos yang tinggi serta banyak masa dihabiskan.
Prestasi kekili yang berusia lebih 15 tahun ini masih setanding dengan kekili baharu di pasaran.















