JOHOR BAHRU – “Kami mahu keadilan buat arwah dan berharap pihak polis dapat melakukan siasatan secara menyeluruh.”
Demikian luahan keluarga kepada ibu dua cahaya mata, Nurul Aina Mohd. Karim, 37, yang didakwa meninggal dunia akibat terjatuh dalam kejadian di Bandar D’Marina, Kuantan pada 20 Mac lalu.
Abang ipar mangsa, Zainal Abidin Ali, 58, berkata, keluarganya mahukan keadilan atas kematian wanita itu dan kini bergantung kepada siasatan polis untuk mengambil tindakan sewajarnya.
“Dua hari sebelum kejadian, adik ipar pulang ke kampung di Bandar Tun Razak, Rompin, Pahang untuk menyambut ulang tahun kelahiran dan itulah kali terakhir kami bertemu dengannya.
“Pada 20 Mac lalu, isteri saya yang juga kakak kepada mangsa, Khairun Munirah, 40, menerima panggilan kira-kira pukul 12.30 tengah hari daripada keluarga memaklumkan Nurul Aina telah meninggal dunia.
“Kami bergerak dari Johor Bahru ke Kuantan selepas menerima berita tentang kematian itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Zainal yang juga seorang peniaga memberitahu, sejurus tiba di tempat kejadian, kami dimaklumkan bahawa adik meninggal dunia akibat terjatuh.
Bagaimanapun dakwanya, selepas laporan bedah siasat ke atas mangsa diperolehi, Nurul Aina dilaporkan meninggal dunia akibat kecederaan di kepala berpunca daripada objek tumpul.
“Timbul tanda tanya kepada kami apabila polis turut mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut (SDR). Kami telah membuat tujuh laporan polis susulan lebih sebulan tiada perkembangan berhubung kes ini,” dakwanya.
Zainal berkata, adik iparnya itu mendirikan rumah tangga pada 2015 dan dikurniakan dua cahaya mata masing-masing seorang lelaki dan perempuan berusia sembilan dan lima tahun.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu memberitahu, mangsa pernah membuat laporan polis berhubung masalah dihadapinya pada 2017.
Katanya, bagaimanapun dalam kes kematian mangsa diklasifikasikan mati mengejut.
Kosmo! pada 27 April lalu melaporkan, Wan Mohd. Zahari memaklumkan, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 20 Mac lalu dan siasatan awal telah dijalankan dengan bantuan
Unit Forensik Hospitak Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih diteruskan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.
Kata Wan Mohd. Zahari, seramai 14 individu telah dirakam percakapan termasuk doktor yang melakukan bedah siasat terhadap si mati.














