fbpx
Wan Mohd. Syukri melayan pelanggan yang membeli santan di gerainya di Pasar Chabang Tiga, Kuala Terengganu kelmarin.

Santan makin mahal, kini cecah RM20 sekilo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kekurangan bekalan kelapa tempatan dan kenaikan harga kelapa import menjadi antara punca kenaikan harga santan segar sehingga RM20 sekilogram di kebanyakan negeri di seluruh negara.

Tinjauan Kosmo! di Pasar Raja Bot, Chow Kit di sini, kelmarin mendapati, santan segar kini dijual pada harga RM18 sekilogram berbanding RM15 sekilogram pada akhir tahun lalu.

Beberapa peniaga memaklumkan bekalan kelapa kini ba­nyak diperoleh dari Indonesia memandangkan stok kelapa tempatan sukar didapati.

Seorang peniaga santan, Liew Yoke Chin, 45, berkata, harga bahan mentah itu mula naik sejak Disember tahun lalu.

“Tahun lepas saya jual santan sekitar RM15 sekilogram, tapi hujung tahun lalu harganya mula naik dan kini terpaksa dijual pada harga RM18 sekilogram.

“Sukar untuk mengekalkan harga berpatutan kerana saya terpaksa membeli buah kelapa pada harga yang tinggi,” katanya.

Peniaga, Putri Ainin Syafika Wasri, 18, pula berkata, pembekal sering menaikkan harga dengan alasan stok kelapa terhad.

“Kenaikan ini memang terasa. Pembekal selalu main harga, hari ini naik, minggu depan naik lagi. Kalau pembekal letak harga tinggi, kita terpaksa jual dengan harga tinggi. Itu pun belum terma­suk kos-kos lain.

“Walaupun harga meningkat, permintaan santan segar tetap tinggi,” katanya.

Di Kuala Terengganu, rata-rata peniaga terpaksa menaikkan harga santan segar lebih 50 peratus berbanding pada bulan Ra­madan lalu ekoran stok yang tidak mencukupi dan harga bekalan yang semakin mahal.

Peniaga, Wan Mohd. Syukri Wan Muda berkata, dia terpaksa menaikkan harga santan segar RM20 sekilogram berbanding RM13 sekilogram pada bulan puasa lalu.

“Harga sebiji kelapa sudah mencecah RM4. Itupun saya baru terima semula bekalan kelmarin.

“Sebelum ini, seminggu saya tidak dapat berniaga ekoran ­ketiadaan bekalan daripada pemborong,” katanya di Pasar Chabang Tiga.

Menurutnya, bekalan kelapa yang diterima daripada pemborong di Kukup, Johor juga berkurangan cuma dua tan berbanding keperluan kira-kira lima tan seminggu.

Katanya, dua tan kelapa itu dijangka hanya mampu bertahan tiga hari kerana permintaan santan tetap tinggi pada Syawal ini.

“Pemborong mendakwa bekalan kelapa dari Indonesia bermasalah ekoran kekurangan tenaga kerja pada musim raya.

“Bekalan kelapa tempatan pula lagi bermasalah disebabkan pengeluaran kurang ekoran musim melawas.

“Masalah yang dihadapi ketika ini antara terburuk sejak saya berniaga santan lebih 30 tahun lalu,” ujarnya.

Putri Ainin melayan pelanggan yang membeli santan di premisnya di Pasar Raja Bot, Chow Kit, Kuala Lumpur kelmarin.

Di George Town, peniaga santan berdepan dilema dengan kenaikan harga bahan mentah itu sejak Oktober tahun lalu dan berlarutan sehingga hari ini.

Peniaga, Mohd. Anuar Arba­yee berkata, ia susulan kenaikan harga isi kelapa daripada pihak pengeluar di negara jiran.

Menurutnya, kenaikan harga isi kelapa berlaku secara berturut-turut sejak Oktober tahun lalu daripada peringkat pembekal iaitu daripada RM4.50 sekilogram kepada RM8.60 seki­logram.

“Situasi ini memaksa peniaga santan menaikkan harga santan daripada RM13 sekilogram (pada Oktober tahun lalu) kepada kira-kira RM20 sekilogram hari ini.

“Kenaikan di peringkat pembekal berlaku dua hingga tiga kali dalam tempoh dua ming­gu. Tidak mungkin kami dapat mengekalkan harga lama.

“Bayangkan, untuk dapatkan sekilo santan kami perlukan dua kilogram isi kelapa. Bagaimana kami nak untung jualan jika tidak naikkan harga?” soalnya.

Di Kota Bharu, peniaga santan, Hafizul Suhaimi, 48, berkata, masalah bekalan kelapa berlaku sejak Januari lalu dengan peningkatan harga secara berperingkat daripada RM2.80 hingga RM3 dan RM3.50 sebiji ketika ini.

Katanya, keadaan itu menyebabkan dia menjual santan kepada pelanggan tetap sahaja kerana bekalan kelapa yang diperoleh hanya 200 biji sehari.

“Sebelum ini, saya tiada masalah untuk menjual santan kepada orang ramai. Buat masa ini, saya terpaksa mengehadkan jualan kerana bekalan kelapa berkurangan,” katanya di Pasar Besar Siti Khadijah.

Tinjauan Kosmo! di Pasar Besar Siti Khadijah juga mendapati, harga santan dijual antara RM15 hingga RM17 sekilogram sejak beberapa bulan lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN