KUALA LUMPUR – Hari ini, tepat pukul 5 petang merupakan tarikh tutup kepada tawaran pengambilalihan mandatori tanpa syarat bagi saham FGV Holdings Bhd. (FGV) oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), pada harga RM1.30 sesaham.
Ia sekali gus bakal menentukan status syarikat perladangan yang mula-mula disenaraikan pada tahun 2012 itu, sama ada kekal diniagakan di Bursa Malaysia ataupun diambil alih oleh Felda.
Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, Felda perlu mendapatkan sekurang-kurangnya lebih 75 peratus daripada keseluruhan saham FGV pada tarikh tutup bagi membolehkan rancangan pengambilalihan FGV dapat diteruskan.
Jelasnya, syarat syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia adalah sekurang-kurangnya 25 peratus daripada saham mereka diniagakan, jadi sekiranya Felda memperoleh lebih 75 peratus saham FGV maka ia tidak memenuhi keperluan minimum untuk disenaraikan.
“Felda kemudiannya perlu memberitahu Bursa Malaysia niat mereka agar FGV dinyahsenarai dan Bursa Malaysia akan memberi tempoh masa tambahan kepada Felda untuk menguasai sekurang-kurangnya 90 peratus saham FGV, tahap yang membolehkan institusi berkenaan mendapatkan baki saham FGV selebihnya secara wajib.
“Sekiranya semua ini tidak dipenuhi, FGV akan kekal sebagai syarikat tersenarai namun sebagai pemegang saham majoriti, Felda memiliki kata putus berhubung sebarang keputusan melibatkan FGV,” katanya di sini .
Sehingga 29 Januari lalu, Felda dan mereka yang bertindak secara bersama dengan institusi berkenaan mempunyai 68.76 peratus pegangan dalam FGV.
Menurut Felda, pengambilalihan FGV adalah suatu langkah penting dalam pelan pemulihannya yang telah diluluskan oleh kerajaan demi manfaat warga Felda.
Ahmed Razman berkata, bagi pemegang saham FGV sedia ada, mereka masih berpeluang membuat keputusan sendiri, sekurang-kurangnya sehingga pukul 5 petang ini, namun mereka perlu sedar implikasi yang mungkin timbul daripada situasi itu.
“Sekiranya FGV kekal tersenarai, harga saham boleh naik atau turun, jadi mereka masih berpeluang menjualnya pada harga lebih tinggi daripada RM1.30 sesaham.
“Namun mereka perlu sedar bahawa hak bagi pemegang saham minoriti kebiasaannya tidak begitu dilindungi dan mereka perlu menerima hakikat bahawa mereka tidak ada kuasa untuk bersuara dengan lebih lantang untuk membuat keputusan.
“Ada kemungkinan keutamaan akan diberikan kepada Felda dan bukannya pemegang saham, contohnya dalam aspek memberi dividen kepada mereka, FGV mungkin akan memberikan bantuan tambahan kepada peneroka,” katanya.
Menurut Ahmed Razman, keputusan yang perlu dibuat pemegang saham bergantung kepada objektif mereka memegang saham FGV itu sendiri.