Selat Melaka adalah kawasan perairan sempit yang memisahkan Semenanjung Malaysia dan Pulau Sumatera di Indonesia. Panjangnya kira-kira 800 kilometer dan menjadi laluan perhubungan utama antara Lautan Hindi dan Lautan Pasifik.
Pulau Jarak dan Tukun Perak antara lokasi memancing popular di perairan Selat Melaka Utara. Namun kali ini, saya dan tujuh orang rakan memilih untuk memancing spesies ikan demersal di Karang Tengah, Pulau Pinang.
Ini merupakan kali pertama saya dan rakan-rakan memancing di Karang Tengah, Pulau Pinang menggunakan perkhidmatan Bot KKN Sea Hunt. Hasil maklumat daripada tekong trip iaitu Ku Amirul, kami telah menyediakan peralatan dan kelengkapan memancing yang sesuai dengan spesies ikan sasaran.
Pelayaran dari jeti di Sungai Merbok, Kedah mengambil masa lebih kurang empat jam untuk sampai ke Karang Tengah. Sebelum itu, kami singgah dulu di beberapa unjam sekitar untuk mencari ikan umpan.
Teknik dan umpan
Sesuai dengan maksud spesies demersal iaitu ikan yang habitatnya di dasar laut, maka teknik pancingan dasar adalah paling efisien.
Memandangkan ikan sasaran kami kali ini adalah jenahak, kerapu dan tambak, maka pemilihan umpan yang tepat merupakan salah satu kunci kejayaan.
Umpan udang lipan adalah pilihan terbaik untuk memancing ikan jenahak. Ia mempunyai kulit yang keras dan jarang akan digetu oleh ikan-ikan karang kecil.
Sotong kurita hidup pula adalah umpan terbaik untuk memancing ikan kerapu, namun kesukaran untuk mendapatkan bekalan membantutkan kami untuk menggunakannya.
Ikan seperti pelaling, kembung, selar dan sardin yang dipancing dengan teknik sabiki/apollo rig di unjam menjadi umpan alternatif.
Set-up sesuai
Set pancing kekili elektrik sangat memudahkan terutamanya apabila terpaksa memancing di kawasan karang yang dalam serta berarus laju. Joran pancing dasar dengan variasi panjang berbeza memberi kelebihan.
Ini kerana, tali atau perambut tidak mudah bersilang antara satu sama lain ketika umpan sama-sama dilepaskan ke dasar.
Batu ladung dengan variasi berat yang berbeza juga sangat penting kerana kelajuan arus akan berubah-ubah mengikut fasa pasang surut laut.
Batu ladung berat diperlukan ketika air laut berarus laju agar umpan tidak tergantung tinggi dari dasar dan tali tidak bersilang dengan tali pemancing lain.
Batu ladung ringan pula digunakan ketika arus laut perlahan atau untuk memancing sabiki/apollo.

Ranggung atau lebih dikenali sebagai ‘tanduk’ sangat penting dalam teknik pancingan dasar. Ranggung stainless steel dengan panjang 10 hingga 16 inci sangat sesuai digunakan.
Ia akan mengurangkan peratusan umpan terbelit pada tali utama dan membantu mengurangkan kebarangkalian
batu ladung tersangkut pada karang di dasar laut.
Perambut 60 hingga 80 paun (lbs) dengan panjang tiga hingga lima depa adalah paling sesuai.
Biasanya, perambut bersaiz besar digunakan pada waktu malam kerana ikan bersaiz kasar lebih kerap memakan umpan ketika itu.
Ikan-ikan kecil seperti tanda dan ikan-ikan karang yang lainnya lebih kerap memakan umpan pada waktu siang, jadi perambut bersaiz 60lb sudah memadai.
Set-up unjam
Walaupun sasaran utama kami adalah memancing ikan demersal, namun sebelum itu, kami harus mencari umpan dengan sabiki/apollo rig saiz nombor lapan hingga 10.
Joran PE1-3 dengan tali utama 20lb sudah memadai. Batu ladung nombor tujuh hingga 10 sangat sesuai kerana kebanyakan kawasan unjam tidak terlalu dalam.
Dalam kerancakan memancing ikan umpan, jangan lupa unjam turut dikunjungi oleh ikan pemangsa seperti tenggiri dan belitung.
Teknik fast jigging sangat sesuai untuk menjerat tenggiri yang memburu mangsanya dengan kelajuan tinggi. Teknik jig cast pula sesuai bagi memancing ikan belitung yang sering meronda di permukaan air sekitar unjam.
Kepingan besi jig seberat 60 hingga 80 gram (g) adalah pilihan yang ideal untuk memancing ikan tenggiri. Manakala kepingan jig seberat 15 hingga 30g terbaik untuk memancing ikan belitung.
Tiada warna jig yang spesifik untuk kedua-dua spesies ikan ini, namun jig yang menyerupai warna mangsanya adalah pilihan terbaik.
Ikan pembuka tirai trip kami adalah dua ekor ikan merah yang telah meragut hirisan isi ikan kembung. Kedua-dua ikan ini diperolehi secara hampir serentak di lubuk yang sama. Selepas itu, suasana kembali sunyi, sekali-sekala umpan diragut kecil, mungkin angkara anak-anak ikan.
Amukan jenahak
Kami telah diasak segerombolan ikan jenahak pada malam terakhir apabila 30 ekor udang lipan habis dikerjakan. Kemudian, kami menggunakan umpan ikan kembung dan selar.
Dalam tempoh lima jam, kami memperolehi 16 ekor ikan jenahak.
Ikan jenahak mula meragut umpan ketika pukul 10 malam.
Dua jam pertama kami diasak bertalu-talu, kemudian ikan semakin kurang membaham umpan sehinggalah pada pukul 3 pagi kami memperoleh jenahak terakhir.
Mungkin perubahan arus atas faktor pasang surut air telah mempengaruhi kerancakan ikan membaham umpan.
Bonus
Dalam perjalanan pulang, kami bertembung dengan sampah hanyut. Bagi pemancing, ia merupakan satu rezeki yang datang secara tiba-tiba.
Bila dilihat lebih dekat rupanya, sampah hanyut tersebut dihuni oleh ‘permata hitam’ lautan iaitu ikan patipok yang juga dikenali sebagai ikan pecah periuk.
Dengan kelengkapan peralatan yang sama bagi memancing ikan tenggiri dan belitung, kami gunakan pula untuk memancing patipok. Berumpankan kepingan isi ikan pelaling, puluhan ikan patipok memenuhi tong ikan.
Alhamdulillah, secara keseluruhannya trip kami selama tiga hari dua malam ini mencapai sasaran.
Selain ikan jenahak, pelbagai spesies ikan lain seperti patipok, merah, tambak, gerepoh, jemuduk, belitung, kerisi, kembung dan cencaru turut memenuhi kotak ikan kami.














