UMAT Islam di negara ini menyambut Aidilfitri dalam suasana penuh kegembiraan pada 31 Mac lalu selepas berpuasa sejak 2 Mac lalu.
Sepanjang Ramadan dan Syawal, kadar perbelanjaan isi rumah ternyata meningkat. Selepas umat Islam balik ke kampung masing-masing untuk menyambut hari raya, kini rumah terbuka pula diadakan di bandar-bandar.
Pakar ekonomi Universiti MUST, Selangor, Profesor Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, perbelanjaan purata isi rumah umat Islam di Malaysia adalah hampir RM30 bilion. Jumlah itu melibatkan hampir 21 juta penduduk Islam di negara ini.
“Hari raya dan Ramadan merupakan bulan istimewa. Dijangkakan dalam dua bulan ini, perbelanjaan bulanan akan meningkat khususnya bulan Ramadan. Pada hari raya, ia juga akan meningkat sampai 30 peratus.
“Jadi, kemungkinan isi rumah orang Islam di Malaysia akan berbelanja melebihi RM40 hingga RM50 bilion dalam satu dua bulan ini. Secara umum, satu isi rumah berbelanja RM2,000 hingga RM3,000 sebulan.
“Anggaran ini berasaskan purata perbelanjaan untuk golongan B40 berpendapatan RM3,000 dan M40 yang memiliki pendapatan RM5,000 serta T20 yang memperoleh pendapatan RM10,000,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Barjoyai berkata, bukan sahaja harga barangan naik tetapi gaya hidup penduduk Islam di Malaysia juga berubah.
“Rekaan baju raya juga berubah. Perbelanjaan juga sudah meningkat,” jelasnya.
Beliau berkata, perbelanjaan juga akan meningkat mengikut gaya hidup dan cita rasa. Katanya, anggaran perbelanjaan untuk rumah terbuka sepanjang Syawal adalah melebihi RM1 bilion.
Barjoyai berkata, ia disebabkan bahan-bahan untuk membuat ketupat dan lontong naik termasuk pulut.
Sementara itu, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Profesor Madya Dr. Azri Bhari berkata, secara asasnya, rumah terbuka tidak semestinya khusus untuk hari raya.
Namun, katanya, rumah terbuka sudah menjadi adat atau budaya di Malaysia.
“Kita buat rumah terbuka untuk berukhwah atau hendak menjalin silaturahim. Konsepnya adalah sedekah dan bila buat rumah terbuka, kita selalunya menjamu orang makan.
“Kita menjalinkan hubungan. Itu juga perkara yang digalakkan. Dalam konteks Syawal ini, sebenarnya konsep itu diharuskan,” ujarnya.
Beliau berkata, ketika berkunjung ke rumah terbuka, aurat perlu dijaga dengan tidak memakai pakaian mencolok mata dan perlu menepati syariat atau kehendak Islam.
“Generasi Z kena terapkan budaya suka berukhwah atau bersilaturahim supaya tidak menyendiri,” katanya yang merujuk kepada golongan muda yang lahir pada 1997 hingga 2012.














