SAUDARA PENGARANG,
Budaya ziarah-menziarahi sempena Hari Raya Aidilfitri nampaknya semakin pudar dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini.
Dahulu, tradisi ini sering diamalkan dengan mengunjungi rumah sanak saudara, jiran tetangga dan rakan-rakan untuk bermaaf-maafan serta mengeratkan silaturahim.
Tiada istilah rumah terbuka kerana pintu rumah sememangnya sentiasa menanti kehadiran tetamu sepanjang bulan Syawal.
Bagaimanapun, sekarang budaya itu sudah berbeza. Jika tiada rumah terbuka, tiada siapa yang mahu datang beraya di rumah kita.
Ada yang malu untuk datang beraya sekiranya tidak diundang, ada pula yang tidak mahu menyusahkan orang lain. Tuan rumah pula ada yang malas untuk melayan tetamu.
Sepatutnya jika tiada rumah terbuka, budaya ziarah-menziarahi mesti diteruskan. Tidak perlu untuk menyediakan hidangan berat seperti nasi minyak, nasi tomato atau nasi ayam, cukup sekadar kuih raya.
Ada yang datang beraya sebenarnya tidak kisah pun juadah yang dihidangkan kerana niat mereka hanya untuk bertemu sanak-saudara.
Saya harap amalan ini dapat diteruskan supaya ia tidak ditelan zaman terutama kepada generasi baharu.
FATIMAH
Shah Alam, Selangor














