SEPANJANG tiga hari sambutan Aidilfitri, ruangan media sosial sememangnya terus dihujani dengan pelbagai hantaran orang ramai yang memaparkan kemeriahan menyambut 1 Syawal, hari kemenangan bagi umat Islam.
Tidak dinafikan, jika bercakap tentang cara rata-rata rakyat Malaysia menyambut Syawal, ia dilihat begitu ‘all out’ bergantung kepada kemampuan kewangan masing-masing.
Dalam konteks ini, konsep ukur baju di badan sendiri sangat perlu, jika kewangan mengizinkan tidak salah untuk melaram, namun sekiranya gaji hanya cukup makan, perancangan bersesuaian harus diutamakan.
Jangan hanya kerana ingin bergaya mewah, komitmen bulanan perlu ditambah, pembelian kelengkapan raya perlu dibayar antara tiga hingga enam bulan menggunakan kaedah hutang moden.
Susulan itu, menurut pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof. Madya Dr. Muzaffar Syah Mallow, proses perbelanjaan tidak mengikut tahap kemampuan kewangan akan menyebabkan rakyat mudah terjerumus ke kancah hutang.
Katanya, hutang yang tidak berjaya dibayar boleh menyebabkan diri seseorang jatuh muflis.
“Jadi, penting untuk kita semua untuk tidak melakukan perbelanjaan di luar kemampuan diri sehingga boleh menyebabkan individu terjebak dalam kancah hutang serta menjadi muflis di kemudian hari.
“Setiap orang harus merancang dengan bijak dan berhati-hati terhadap perbelanjaan mereka sebelum keluar rumah untuk berbelanja ataupun pembelian secara dalam talian,” katanya baru-baru ini.
Katanya, orang ramai juga harus tahu membezakan antara keperluan dan kehendak ketika ingin membeli sesuatu barangan.
“Proses perbelanjaan harus diutamakan terhadap barangan yang menjadi keperluan asas dan bukannya berdasarkan kehendak hati atau nafsu.
“Mereka perlu menjadi seorang pengguna yang bijak dengan rajin membandingkan harga barangan yang dijual antara satu peniaga dengan peniaga yang lain,” jelasnya.
Sambutan hari raya juga bukan lesen untuk mereka menukar segala perkakas yang ada dirumah dan membeli barang-barang baru seperti perabot, karpet, langsir dan lain-lain.
Orang ramai harus mempraktikkan amalan kitar semula dan mengunakan daya kreativiti sendiri supaya rumah mereka kelihatan menarik, bersih dan baru sesuai dengan sambutan hari raya.
Katanya, kehidupan kita semua tidak hanya berpaksi terhadap sambutan hari raya semata-mata, sebaliknya masih memerlukan banyak wang untuk menjalani kehidupan seharian selepas tamatnya musim raya nanti.
“Keadaan ekonomi yang tidak menentu pada ketika ini menuntut kita semua untuk lebih bijak berbelanja dengan menjadi amalan menabung sebagai keutamaan,” katanya.














