GEORGE TOWN – Tujuh beranak sanggup hidup dalam serba kedaifan di sebuah rumah setinggan seluas 100 kaki persegi (30 meter) di kawasan Permatang Damar Laut di sini bagi meneruskan kehidupan harian mereka sekeluarga.
Situasi yang dilalui Hasrizal Mehad bersama isteri dan lima anaknya termasuk seorang bayi yang baru lahir akhirnya mendapat perhatian Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin apabila berkunjung sendiri ke kediaman yang dihuni anak-beranak itu, baru-baru ini.
Menurut Tze Tzin, pihaknya dimaklumkan mengenai keluarga tersebut daripada jiran memandangkan mereka tidak pernah mendapatkan sebarang bantuan dari sesiapa termasuk daripada pejabat beliau sendiri.
“Seorang ayah berusia 47 tahun terpaksa bekerja keras di sebuah gudang di Batu Maung dengan gaji pokok RM1,700 sebulan demi menyara enam ahli keluarganya termasuk seorang bayi yang baru lahir.
“Setiap hari pergi kerja, pukul 8 pagi dia (Hasrizal) dah (sudah) keluar naik kapcai. Tapi, baru-baru ni motornya rosak, nak (hendak) baiki kena keluarkan RM500. Memang dia tak mampu.
“Bagaimanapun saya bersyukur kerana kami dapat mengumpul dana lebih RM26,000 dalam tempoh 24 jam untuk bantu keluarga ini memulakan hidup baru.
“Saya gunakan dana ini untuk mendapatkan sebuah unit perumahan kerajaan negeri bersaiz 700 kaki persegi untuk mereka dam selesaikan bayar rumah, bil elektrik serta air selama tiga tahun termasuk membantu Hasrizal mencari pekerjaan dan memasukkan anak-anak ke kursus TVET untuk mereka belajar kemahiran baru,” katanya.
Tambahnya, keluarga tersebut turut diberikan sebuah motosikal untuk berulang ke tempat kerja. – KOSMO! ONLINE