fbpx
Lokasi pancingan di kebun pisang dan patin Sungai Langat.

K2

‘Mematin’ dan ‘membuaya’ di Sungai Langat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Sebaik tiba hari dan masa yang ditetapkan, saya bertemu dengan rakan sehobi di depan kilang kertas Genting Sanyen di jalan menuju ke Kampung Labuhan Dagang untuk memancing ikan patin di Sungai Langat, Selangor.

Selepas keluar dari jalan utama kira-kira satu kilometer, kami tiba di kawasan kunci air, dan memilih di bahagian sebelah kanan kunci air berhampiran kebun pisang. Ini kerana di situ dapat berlindung daripada panas matahari.

Selepas menyiapkan sebatang joran yang lengkap dengan perambut dan dua mata kail berkembar bersama batu ladung di bawah berserta umpan roti dikepal padat berperisa pandan dan pisang hasil tunjuk ajar Zulkhair.

Saya melontarkannya ke bahagian tengah sungai, di kawasan terdapat banyak ikan patin menimbulkan diri.

Selepas mengikat tali penambat dan loceng penggera pada batang joran, saya mencapai kamera dan duduk menunggu dalam keadaan bersedia untuk merakam gambar. Tentu anda tertanya-tanya mengapa?

Tunggu buaya

Sebenarnya, bukan ikan patin yang menjadi tujuan utama saya di sini, sebaliknya sasaran utama kamera saya adalah sang bedal yang dikatakan sentiasa berulang-alik dari hulu ke hilir di sungai ini.

Sejam menunggu, sang bedal yang dimaksudkan tidak menjelma. Saya merayau-rayau di sekitar tebing meninjaunya, jika ia sedang berehat di darat.

Sebaliknya, saya terjumpa dengan sekumpulan pemancing lain yang sedang memancing, mereka dapat seekor ikan keli dan kemudian seekor ikan bulan pula. Berani juga mereka memancing dekat dengan tebing di kawasan diketahui ada buaya.

Lama juga saya menunggu si buaya, tetapi tidak memunculkan diri. Baru hendak meletakkan kamera, akhirnya subjek yang ditunggu-tunggu melintas di hadapan. Malangnya, reptilia itu terlalu pantas menyelam, tidak sempat saya potretkannya.

Zulkhair menyarankan supaya saya menunggu di kunci air sambil me­nyorok di sebalik pokok pisang. Bosan menunggu, saya merapati tebing dan dapat melihat kesan-kesan tapak kaki sang bedal yang naik ke darat untuk berjemur.

Aksi Zulkhair menarik ikan patin.

Dalam pengamatan saya, berdasarkan kesan tapak kaki dan dengan terlihat kelibatnya tadi, dianggarkan sang bedal tersebut berukuran sepanjang dua setengah meter, ia tidaklah sebesar spesies buaya air masin. Namun, ia bukanlah dari jenis buaya tembaga atau buaya jenjulung.

Selepas selesai membuat tinjauan di tebing sungai, saya kembali ke kunci air dan dapat melihat sedikit sahaja bahagian kepalanya yang timbul. Sebaik menyedari kehadiran saya, ia menyelam semula lantas menghilang­kan diri.

Sambil melawak, Zulkhair me­nyarankan saya menggunakan kamera kawalan jarak jauh selepas ini untuk merakam gambar buaya tersebut.

Pancing patin

Selepas itu, kami meneruskan pancingan ikan patin hingga pukul 11 pagi, sebelum kelihatan joran Zulkhair melendut menerima tarikan.

Kemudian, seekor patin saiz lebih kurang dua kilogram berjaya didaratkan.

Selepas melontarkan semula umpan roti kepal berperisa pandan campur pisang, Zulkhair melontarkan pula mata kail berumpan buah lakom pada joran keduanya.

Sedang melepak menunggu joran direntap, kelihatan seorang pemancing lain sedang menarik ikan.

Lantas saya meminta Zulkhair menghantar saya ke lokasi peman­cing tersebut dengan motosikalnya. Sebaik tiba, patin tersebut sudah pun berjaya didaratkan.

Menurut info lelaki Indonesia tersebut, dia datang dari Nilai, Negeri Sembilan dan jarang pulang dengan tangan kosong apabila memancing patin di sini. Katanya, tiada umpan rahsia, dia hanya gunakan roti Gardenia yang sudah dicampur dengan perisa pisang sebagai umpannya.

Matahari tegak ‘memanah’ di atas kepala, tiada lagi kelibat sang bedal dapat dilihat dan patin juga sudah tidak sudi menjamah umpan yang dihidangkan, akhirnya saya membuat keputusan untuk pulang.

Satu perjanjian baharu dimeterai bersama Zulkhair, iaitu saya ingin menjejaki sang bedal sehingga wajah sebenarnya dapat dirakam selepas ini.

Selepas salam perpisahan, saya bergerak meninggalkan Zulkhair yang meneruskan pancingannya.

Dia hanya memperoleh seekor patin sehingga pukul 3 petang sebelum pulang untuk urusan lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN