fbpx
Trump menangguhkan sementara tarif ke atas kenderaan dan alat ganti kenderaan.

Tarif jadi senjata perang Trump 2.0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KELIHATAN sehari dua ini, isu perang tarif Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dengan negara-negara sasaran semakin panas.

Cubaan mengenakan tarif 25 peratus terhadap Kanada, Mexico dan China mencetuskan tindakan balas negara-negara terbabit.

Terbaru Trump mengumumkan levi ke atas semua import produk besi dan aluminium dari Kanada dan China, namun menangguhkan sementara tarif ke atas kenderaan dan alat ganti kenderaan.

Sebagai langkah balas, Kanada dan Mexico turut mengumumkan cukai import mereka ke atas barangan AS. Ia melibatkan barangan makanan berasaskan ternakan, sayuran dan buah-buahan bernilai lebih RM130 bilion.

Malah Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau mengancam akan mengenakan lebih banyak tarif terhadap barangan import AS bernilai lebih RM440 bilion apabila tarif Trump dijangka menjejaskan industri produk minyak, kenderaan, galian serta produk berasaskan besi Kanada.

Rakyat Kanada turut bertindak balas dengan mula memboikot barangan AS termasuk membatalkan percutian mereka ke pusat-pusat pelancongan negara Uncle Sam tersebut selain pemilik pasar raya mengosongkan rak-rak yang sebelum ini dipenuhi alkohol keluaran AS.

Meskipun tindakan Trump itu didakwa bertujuan seimbangkan semula tarif dan perdagangan antara AS dan negara sasaran, namun semua itu ternyata mencetuskan kebimbangan terhadap ekonomi dunia serta menyebabkan harga makanan menjadi semakin meningkat.

Umum mengetahui sejak wabak Covid-19 melanda dunia pada awal 2020, diikuti perang Russia-Ukraine harga barangan makanan meningkat dengan begitu mendadak. Keadaan diburukkan lagi dengan fenomena cuaca ekstrem yang tidak menentu menyebabkan rantaian bekalan makanan terjejas.

Hari ini, tindakan drastik Trump menyebabkan pasaran saham di seluruh dunia merudum khususnya apabila beliau mengumumkan kawalan terhadap industri cip China menyebabkan para pelabur bersikap berhati-hati selain penyimpan dana beralih kepada aset lebih selamat seperti bon dan emas.

Dalam aspek kuasa beli pula, ramai yang akan terkesan kerana kenaikan tarif menyebabkan rakyat AS dan negara sasaran terpaksa membayar lebih untuk keperluan. Contohnya, jika sebelum ini sesuatu barangan boleh dibeli pada harga RM100, selepas tarif mereka terpaksa membayar RM125. Hal ini menyebabkan kuasa beli semakin mengecil dan permintaan menjadi merosot.

Dikhuatiri jika keadaan ini berterusan akan mengurangkan keperluan tenaga kerja sekali gus kadar pengangguran semakin bertambah.

Kita tidak pasti sama ada dasar Trump itu suatu tindakan bijak atau bakal menjadikan AS sebuah negara terpencil dan terkebelakang dalam aspek keterbukaan ekonomi hari ini dan akan datang.

Apa yang pasti Trump kini menggunakan kuasa wang sebagai senjata baharu untuk mengugut negara sasaran. Siapa yang akan menang? Hanya masa yang akan menentukan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN