fbpx
Hannah (dua dari kanan) sempat beramah mesra dengan para pelajar kemahiran pembuatan roti dan pastri dalam kunjungannya ke IBTN Sepang.

KBS perkasa kemahiran belia keperluan khas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELESAI membancuh tepung dan beberapa bahan lain bagi menghasilkan doh piza pada pagi itu, Aliyah Syazana Abdul Rahman, 19, mula menguli doh tersebut bagi membentuk beberapa doh bulat bersaiz kecil untuk menghasilkan piza bersaiz mini.

Anak kelahiran Kampung Sungai Buah Luar, Dengkil, Selangor yang mesra disapa sebagai Aliyah itu merupakan salah seorang pelajar Program Latihan Kemahiran Inklusiviti Belia Autisme dan Berkeperluan Khas anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN).

Dianjurkan sejak tahun 2018, inisiatif yang dibawa oleh KBS itu adalah bertujuan membuka peluang kepada belia berkeperluan khas untuk mengembangkan bakat, kemahiran dan penyesuaian diri dalam aspek hubungan sosial serta persekitaran tempat latihan bagi membolehkan mereka berjaya dan mampu berdikari kelak.

Berkongsi dengan K-Remaja, Aliyah memberitahu dia seronok apabila dapat mempelajari cara-cara membuat pastri seperti roti, piza dan donat.

“Saya mula mengikuti kelas ini sejak September tahun lalu.

“Di sini, kelas saya adalah dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari dan dibuat tiga kali seminggu iaitu Isnin sehingga Rabu.

“Peluang mengikuti kelas ini membolehkan saya belajar sesuatu yang baharu dan membantu saya membina keyakinan diri,” katanya.

Sebelum ini juga, Aliyah pernah berkhidmat di Rimau Cafe, sebuah kafe berkonsepkan authentic learning yang dibangunkan KBS khas untuk melatih belia autisme dalam bidang hospitaliti.

Peluang berhadapan dengan pelanggan secara bersemuka membolehkan Aliyah membina kemahiran berkomunikasi bagi membantu dia menjana pendapatan sendiri dan hidup berdikari.

Bagi Amir Zuhdi Azmi, 28, peluang mengikuti latihan hospitaliti di IKTBN Sepang membolehkan dia belajar teknik membuat beberapa jenis pastri yang diharap dapat membantu dia membuka bakeri sendiri satu hari nanti.

“Saya seronok apabila dapat belajar teknik menghasilkan pelbagai jenis roti dan pastri bersama rakan-rakan sekelas yang turut sama mengikuti program ini.

“Apabila sudah mahir kelak, saya harap dapat membuka sebuah bakeri atau kedai menjual pastri berbekalkan ilmu yang saya peroleh daripada program latihan di sini,” katanya.

Anak kelahiran Pasir Tumboh, Kelantan itu juga mengakui pada mulanya, dia agak sukar untuk mengikuti resipi dan teknik yang diajar oleh gurunya.

“Namun, selepas semakin kerap menghasilkan pelbagai menu yang diajarkan, saya sudah boleh ‘tangkap’ dan semakin lama menjadi semakin mudah,” jelas Amir Zuhdi.

Objektif program adalah untuk menyediakan peluang latihan kemahiran kepada belia berkeperluan khas seperti autisme dan masalah pembelajaran.

Ia berperanan sebagai menyediakan laluan pendidikan yang bersesuaian untuk golongan sebegitu dan memberi peluang kepada mereka untuk meningkatkan taraf ekonomi diri.

IKBTN Sepang merupakan salah satu lokasi pembelajaran yang menawarkan Program Latihan Kemahiran Inklusiviti Belia Autisme dan Berkeperluan Khas anjuran KBS.

Pelaksanaan Program Latihan Kemahiran Inklusiviti Belia Autisme dan Berkeperluan Khas itu dijalankan selama enam bulan, tiga hari seminggu dengan jumlah latihan selama 198 jam.

Elemen modulnya pula melibatkan 10 peratus teori dan 90 peratus amali.

Antara bidang latihan yang ditawarkan di bawah program tersebut termasuk Asas Pengurusan Kafe di Menara KBS, Putrajaya dan IKTBN Bukit Mertajam, Pulau Pinang; Pembuatan Roti di IKTBN Sepang, Selangor; Asas Pembuatan Pastri dan Barista di IKBN Bandar Penawar, Johor, IKBN Kemasik, Terengganu, IKBN Miri, Sarawak dan IKTBN Alor Gajah, Melaka; Asas Pembuatan Cenderahati (Sukan) di IKBN Kuala Langat, Selangor dan juga Jahitan dan Produk Kreatif di IKBN Jitra, Kedah.

Program itu terbuka kepada belia autisme dan berkeperluan khas yang memenuhi syarat pengambilan iaitu warganegara Malaysia berusia 16 hingga 30 tahun, memiliki kad OKU yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, boleh menguasai 3M iaitu membaca, menulis dan mengira serta boleh mengurus diri sendiri tanpa bantuan dan seliaan minimum oleh tenaga pengajar.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang berpeluang meninjau sesi latihan para pelajar baru-baru ini memberitahu, selain program sedia ada yang ditawarkan di Institut Latihan Kemahiran

Belia dan Sukan (ILKBS), KBS mahu membuka peluang kepada golongan berkenaan mengembangkan bakat dalam pelbagai bidang.

“Kita akan mulakan dahulu dengan program Rakan Muda golongan belia OKU untuk pengisian masa lapang mereka.

“Berdasarkan pengalaman tenaga pengajar di sini, belia OKU ini juga memerlukan ruang untuk bersosial dan berkenalan dengan orang lain kerana interaksi itu sangat penting dan mereka mahukan latihan yang membolehkan mereka memperoleh kemahiran berkomunikasi,” katanya.

Sehingga kini, seramai 287 belia autisme dan berkeperluan khas telah menerima manfaat daripada program berkenaan melalui 13 ILKBS di seluruh negara.

Sementara itu, tenaga pengajar latihan membuat pastri IKTBN Sepang, Muhammad Akmal Anuwar, 25, berkata, kemahiran 3M penting untuk dikuasai calon, bagi memudahkan mereka untuk menyalin nota semasa sesi pembelajaran.

“Sewaktu proses temu duga, kami akan memastikan calon boleh membaca dan menulis, supaya mudah untuk mereka mengikuti apa yang diajarkan.

“Bagi kemahiran bercakap pula, para pelajar boleh bercakap dengan baik cuma pada awalnya mereka agak malu-malu dan sebagai guru, saya akan mencari cara untuk mendekati mereka supaya mereka lebih yakin untuk berkomunikasi dan selesa apabila belajar bersama rakan-rakan lain dalam kelas,” katanya.

Sempat berkongsi harapan buat anak-anak didiknya, Muhammad Akmal berharap pihak majikan di luar sana kelak akan boleh menerima dan lebih memahami individu autisme ini serta memberi peluang pekerjaan kepada mereka.

“Harapan saya agar pihak majikan di luar sana kelak boleh memberi peluang dan mengambil belia sebegini untuk bekerja di syarikat mereka.

“Hal ini kerana saya melihat ramai majikan yang sedia mengambil belia autisme bekerja, namun hakikatnya mereka tidak betul-betul memahami keadaan sebenar autisme itu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN