fbpx
TENGKU (dua dari kiri) mewakili Kelab Insan menerima Anugerah Khas Kesukarelawanan (Sukarelawan Terbilang) pada Hari Kesukarelawanan Kebangsaan Institusi Pendidikan TInggi 2022 di Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya.

K2

Tengku si gadis berhati mulia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AKTIVITI kesukarelawanan sudah sebati dalam hidup Tengku Afiqah Tengku Azman, 23, yang merupakan pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Sains Kimia Petroleum dengan Kepujian, Fakulti Sains di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor.

Gadis berhati murni yang lebih mesra disapa Tengku ini sanggup menghabiskan sebahagian besar masanya untuk berbakti kepada masyarakat tanpa mengharapkan balasan mahupun pengiktirafan.

“Kerja-kerja kesukarelawanan saya bermula sejak di tahun satu pengajian di UPM apabila seorang rakan yang merupakan ahli Kelab Pembangunan Insaniah (Insan) mengajak saya untuk turut serta melakukan aktiviti kebajikan.

“Sejak dari itu saya mula jatuh cinta dan aktif melakukan pelbagai kerja sukarelawan dan kebajikan yang dilaksanakan oleh kelab tersebut.

“Antara aktiviti yang dijalankan oleh kelab Insan ialah menyertai misi bantuan banjir, membersihkan pantai, menanam pokok, menyantuni anak yatim dan warga emas, mengadakan program di perkampungan Orang Asli serta menganjurkan program pemerkasaan bahasa Inggeris dan sahsiah yang melibatkan pelajar sekolah,” kata anak sulung daripada tiga beradik itu.

TENGKU AFIQAH

Jelas Tengku, kelab Insan merupakan satu-satunya kelab yang berada di bawah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar UPM, sekali gus menjadikannya sangat aktif dan banyak terlibat dengan kerja-kerja sukarelawan.

Pada Disember 2022, Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar UPM telah berjaya mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi Putra Longest Volunteering Activity (PutraLoVA) yang mana sebahagian besar aktivitinya dijayakan oleh sukarelawan kelab Insan.

Meskipun sibuk dengan tugas sebagai pelajar dan sukarelawan, tetapi Tengku tidak berasa terbeban kerana dia percaya Allah akan mempermudahkan urusan apabila kita membuat kebaikan membantu sesama manusia.

“Saya berpegang kepada prinsip sebaik-baik manusia itu adalah manusia yang memberi manfaat kepada orang lain, maka kerja sukarelawan ini bukanlah satu bebanan, malah hidup saya dipermudahkan oleh Allah SWT. 

“Saya juga berasa sangat puas dan perasaan itu sukar nak digambarkan dengan kata-kata kerana setiap misi beri pengalaman dan keseronokan berbeza.

“Bergelar sukarelawan juga banyak mengajar saya untuk menjadi lebih berdisiplin, mempunyai sifat empati yang tinggi, mementingkan masa dan berfikiran positif dalam semua sudut kehidupan,” ujarnya yang turut mencipta sejarah menjadi wanita pertama dilantik sebagai Presiden Kelab Insan pada 2023.

 

SETIAP kerja kesukarelawanan memberi kepuasan tersendiri kepada Tengku (tengah).

Antara program sukarelawan terbesar yang pernah disertainya ialah misi bantuan kemanusiaan dan bencana ke Pattani, Thailand pada tahun lalu yang dikelola oleh Majlis Kesukarelawanan Universiti Malaysia (MASKUM).

Jelasnya, dia berasa bertuah dapat mengikuti misi ke Pattani kerana hanya dua orang yang dipilih bagi setiap universiti untuk melakukan aktiviti sukarelawan di sana selama empat hari, tiga malam.

“Di Pattani, kami membuat pelbagai aktiviti sukarelawan seperti pemasangan solar, boring air, mengajar bahasa Inggeris kepada pelajar tahfiz dan kenduri bersama masyarakat setempat,” ujar bekas Exco Kelestarian Alam Sekitar, Malaysian Student Volunteer Alliance (MySVA) itu.

Sementara itu, penerima anugerah Sukarelawan Terbaik dari Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar UPM itu juga dijemput pihak stesen televisyen untuk berbicara mengenai topik penglibatan generasi muda dalam aktiviti kesukarelawan di Malaysia.

“Kerja sukarelawan ini sebenarnya sangat seronok, saya cadangkan anak muda untuk mencuba terlebih dahulu pasti akan jatuh cinta dan pada masa sama dapat bantu bangunkan negara serta masyarakat.

“Ramai mengatakan kerja sukarelawan tidak beri apa-apa faedah kerana kita tidak dibayar dan membantu secara percuma, tetapi percayalah setiap kebaikan itu akan dibalas tanpa kita sedari,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN