KUMPULAN WhatsApp kelas kadangkala membuat dahi berkerut apabila membacanya.
Sesetengah ibu bapa kurang mahir memanfaatkan kemudahan itu apabila ada yang kerap bertanya soalan yang sudah diterangkan beberapa kali atau suka-suka sahaja menyuruh guru memantau gerak-geri dan menjaga barangan atau alat tulis anak-anak mereka.
Ada juga ibu bapa yang tanpa segan melenting apabila pertanyaan tidak dilayan atau terlambat respon. Tidak kurang juga yang cuba jadi ‘detektif’ mencari anak siapa yang mengguna atau mengambil alat tulis anak mereka sehingga menimbulkan ketidakselesaan ibu bapa lain dalam grup tersebut, malah ada yang menyalahkan guru.
Apabila membaca hantaran itu, wujud persoalan dalam diri saya mengapa ibu bapa generasi sekarang bersikap begitu, sedangkan semasa sekolah dahulu tiada grup WhatsApp seperti sekarang, tetapi ibu bapa kita ketika itu terima sahaja info yang disampaikan oleh guru.
Keadaan sekarang menunjukkan perbezaan yang begitu ketara jika dibandingkan dengan zaman persekolahan saya, yang mana ibu bapa sangat menghormati guru-guru, malah tanggungjawab seperti menyampaikan maklumat pada ibu bapa dan menyiapkan kerja sekolah itu sepenuhnya diletakkan di bahu kita sendiri.
Pensyarah Kanan dan Perunding Psikologi Klinikal, Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Fakulti Sains dan Kemanusian Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Hilwa Abdullah @ Mohd Nor berkata, kelemahan ibu bapa mengawal emosi boleh menyebabkan kesan negatif kepada anak mereka.
Katanya, ibu bapa perlu ada satu jangkaan terhadap perubahan sosial yang berlaku kepada anak-anak sebaik sahaja mereka melangkah ke alam persekolahan.
“Apabila masuk alam persekolahan, terutama darjah satu, anak-anak akan kenal benda baharu seperti peraturan sekolah, persekitaran baharu dan berkawan dengan ramai kanak-kanak lain. Jadi, ketika itulah ibu bapa mainkan peranan untuk mendisiplinkan anak-anak mereka.
“Ibu bapa boleh didik anak-anak dengan cara bercerita kepada mereka bagaimana keadaan di sekolah. Sebagai contoh mengenai alat tulis mereka, ceritakan kepada mereka kalau ada kawan mahu ambil, beritahu boleh pinjam dan perlu pulang semula. Jadi, dari situ anak dididik tanggungjawab menjaga barangan mereka,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Katanya, jika kejadian yang berlaku ke atas anak-anak mereka semasa berada di sekolah itu diuruskan dengan emosi, ia boleh memberi rasa bimbang dan takut terhadap anak-anak, sekali gus memberi kesan kepada keyakinan diri anak-anak itu sendiri.
“Ia juga memberi bebanan yang tidak perlu kepada guru-guru, sedangkan itu bukan tanggungjawab mereka.
“Sebagai ibu bapa, kitalah yang perlu nasihatkan selalu pada anak-anak dan dari apa yang mereka lalui di sekolah, didik mereka agar bertanggungjawab dan berdisiplin,” katanya.
Justeru, sebagai ibu bapa penting untuk kita sedar bahawa anak-anak ini sentiasa memerhatikan apa yang kita ucapkan dan cara kita melafazkannya.
Berhati-hatilah dengan reaksi kita kerana kitalah contoh teladan yang menjadi ikutan mereka, sama ada baik mahupun sebaliknya.














