SEBUAH alat elektronik mudah alih yang berfungsi sebagai pengesan panggilan dan penerima pengesan dalam bentuk angka abjad atau kelui (pager) menjadi gajet pertama yang dimilik oleh selebriti dan penyampai radio, Fizi Ali
Peranti hadiah daripada bapanya itu merupakan antara pengalaman awal Fizi dengan teknologi meskipun ia tidak begitu digunakan olehnya.
Kata Fizi atau nama lengkapnya, Mohd. Hafizudin Alimudin, apabila menginjak dewasa, dia kemudian lebih tertarik dengan gajet-gajet berkaitan muzik dan ia masih kekal sehingga kini.
“Saya dulu ada pager tetapi ia sekadar untuk gaya dan tidak digunakan memandangkan pada ketika itu kos untuk mempunyai sambungan jaringan agak mahal.
“Tetapi apabila meningkat remaja, saya lebih gemarkan muzik dan mula mengumpul duit untuk memiliki gajet berkaitan dengannya seperti walkman radio, kaset, discman dan kemudian mp3,” katanya ketika ditemui K-Tekno di konti radio HotFM di Balai Berita Media Prima, Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tambahnya, gajet-gajet muzik itu meninggalkan banyak kenangan suka, duka dan sebagainya.
Kongsinya lagi, antara kenangan dengan gajet muzik yang paling diingati adalah keterujaannya membeli discman menggunakan duit sendiri semasa di sekolah menengah.
Katanya, pada ketika itu dia mengumpulkan duit belanja selama beberapa tahun sebelum membeli discman tersebut.
“Semasa saya membeli discman itu hanya Allah yang tahu betapa gembiranya hati ini kerana mempunyai gajet idaman pada ketika itu.
“Namun, malang tidak berbau, saya hanya dapat memegangnya selama dua hari sebelum ia hilang ketika saya menyimpannya di dalam beg,” ceritanya.
Kejadian tersebut amat menyedihkan baginya, namun dia terpaksa menerima hakikat bahawa itu bukan rezekinya.
Bagi mengubati kesedihan atas kehilangan tersebut, Fizi mengatakan bahawa dia kemudian membeli radio kecil yang boleh memainkan siaran radio untuk dirinya sendiri. Selain itu, terdapat juga pengalaman lain seperti kenangan merekod lagu menggunakan kaset di radio atau fungsi rakaman di telefon bimbit.
Minat terhadap gajet muzik juga masih kuat sehingga kini yang mana Fizi mengakui dia banyak mengikuti perkembangan terkini untuk peranti di segmen berkenaan.
Katanya lagi, meskipun muzik sudah boleh dimainkan di telefon pintar, dia masih membeli gajet muzik terkini seperti kaca mata yang dilengkapi fungsi audio (speaker) di bahagian tangkainya.
“Kalau gajet berkaitan muzik memang saya sentiasa ikuti perkembangannya, dulu saya ada kerusi urut yang dilengkapi speaker untuk memainkan muzik dan kini pula cermin mata dengan audio.
“Kini saya meletakkan sasaran untuk memiliki cermin mata yang bukan sahaja dilengkapi fungsi audio tetapi juga kamera yang boleh merakam video,” kongsinya.
Bagi penggunaan telefon pintar pula, Fizi memberitahu dia tidaklah terlalu mengikuti perkembangan terkini dan lebih menggunakannya untuk berhubung atau mencari bahan bagi kandungan siaran radio.
Jelasnya lagi, sebagai penyampai radio, dia banyak mencari bahan-bahan topik siaran menerusi sosial media dan portal sebelum memulakan tugas harian.
“Saya dengan telefon tidaklah begitu mengikut trend seperti mesti mendapatkan model terkini, cukup boleh berhubung dan mendengar muzik ketika berada di gimnasium.
“Di sosial media juga saya tidaklah begitu aktif tetapi ia masih menjadi sumber saya untuk mencari bahan dan mengetahui tentang berita terkini,” ujarnya.














