fbpx
Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dilaporkan kritikal selepas tercekik gummy berbentuk mata di Pulau Pinang pada Selasa lalu.

Haramkan penjualan ‘jajan’ merapu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Baru tiga hari sesi persekolahan bermula, kita dikejutkan dengan kejadian seorang kanak-kanak berusia 10 tahun dilaporkan kritikal selepas tercekik gula-gula kenyal.

Kejadian menimpa murid tahun empat di Butterworth, Pulau Pinang pada Selasa lalu itu menyebabkan mangsa kini terlantar di Unit Rawatan Rapi Pediatrik, Hospital Pulau Pinang.

Kanak-kanak itu dikatakan membeli ‘gummy’ berbentuk mata di luar kawasan sekolah.

Selepas memakan gula-gula ‘gummy’, kanak-kanak itu dikatakan tersedak sebelum rebah dan tidak sedarkan diri.

Menerusi perkongsian ibu saudaranya di Facebook, pihak guru ada buat panggilan video kepada pasukan perubatan yang kemudian meminta supaya memeriksa mulut kanak-kanak itu dan menjumpai gula-gula di dalam tekaknya.

Setakat ini mangsa belum menunjukkan perkembangan positif. Membaca berita yang menimpa kanak-kanak itu sudah cukup mendebarkan buat golongan ibu bapa.

Kerana sebiji (mungkin lebih) ‘gummy’ nyawa seorang kanak-kanak jadi taruhan.

Aktiviti penjualan ‘gummy’ bukan dilakukan secara sorok-sorok. Buka TikTok ada peniaga yang menjual makanan tersebut.

Menonton siaran langsung penjual ‘gummy’, berbalang gula-gula berjaya terjual dalam masa beberapa minit.

Mereka menggunakan kaedah mencedok ‘gummy’ dan dimasukkan ke dalam bekas yang dilakukan secara live di hadapan pelanggan.

Di platform e-dagang terkenal, sebiji gummy boleh dibeli pada harga 70 sen. Tak mungkin pembeli akan beli sebiji, sudah pasti lebih. Saiznya sebesar ibu jari tangan dewasa.

Pada pendapat penulis, dengan teksturnya yang kenyal dan sekiranya tidak dikunyah dengan berhati-hati ia boleh membuatkan kanak-kanak tercekik.

Jadi ibu bapa perlu memainkan peranan penting mendidik anak-anak terutama yang masih kecil supaya menjauhi makanan viral tersebut.

Sekiranya diberikan penerangan yang baik dan bersikap tegas, sudah pasti mereka akan akur.

Selain ibu bapa, peniaga juga tidak sepatutnya menjual gummy tersebut kepada kanak-kanak apatah lagi di kawasan pekarangan sekolah.

Banyak lagi makanan yang boleh dijual seperti roti atau air jika mahu mencari rezeki bukannya makanan tular yang belum diketahui khasiatnya.

Sudahnya wang saku sekolah habis dibelanjakan untuk membeli ‘jajan’ merapu. Harapnya dengan kejadian yang menimpa kanak-kanak di Pulau Pinang itu, pihak berkaitan dapat mengambil tindakan segera.

Jiada tiada faedah, lebih baik diharamkan sahaja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN