PASTINYA ramai telah mengetahui tentang penularan metapneumovirus manusia (HMPV) yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini. Pada zaman pasca-Covid-19, ramai orang berpengalaman dalam menghadapi penularan wabak penyakit.
Oleh itu, apabila berita peningkatan kes HMPV di China baru-baru ini diketahui umum, masyarakat mula mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan pandemik kedua selepas Covid-19 tidak berlaku.
Ini dapat dilihat apabila ramai yang mengamalkan pemakaian pelitup muka dan membawa pembersih tangan apabila berada di luar rumah. Hal ini kerana ramai mengetahui yang HMPV mempunyai beberapa persamaan dengan Covid-19.
Namun begitu, kedua-dua virus itu mempunyai perbezaan.
Perunding Perubatan Kecemasan dan Ketua Jabatan Kecemasan di Hospital Columbia Asia, Setapak, Kuala Lumpur, Dr. Suhash Damodaran berkata, HMPV adalah virus respiratori yang tergolong dalam keluarga Pneumoviridae sama seperti virus pernafasan syncytial (RSV).
Menurutnya, HMPV mula dikenal pasti pada tahun 2001 dan telah menjadi salah satu penyebab utama jangkitan saluran pernafasan terutamanya dalam kalangan kanak-kanak, warga emas serta individu dengan sistem imun lemah.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaporkan sebanyak 327 kes positif HPMV pada tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 45 peratus berbanding tahun 2023, di mana 225 kes telah dilaporkan.
“Walaupun terdapat peningkatan dalam jumlah kes, kes-kes HMPV dikategorikan sebagai ringan dan KKM tidak mengiktirafkan penyebaran penyakit ini sebagai endemik atau pandemik,” katanya.
Mengulas mengenai perbezaan antara HMPV dan Covid-19 dari segi penularan, Dr. Suhash menjelaskan, penularan kedua-dua virus itu sama.
Terangnya, kedua- dua virus itu merebak melalui kontak langsung dengan individu yang dijangkiti atau melalui permukaan tercemar (droplet mechanism).
“Cara penyebaran termasuk batuk, bersin, berjabat tangan dan menyentuh permukaan atau objek seperti telefon serta tombol pintu.
“Sementara itu, gejala jangkitan HMPV boleh berbeza tahapnya, dari ringan hingga serius.
“Gejala ringan termasuk batuk kering, selesema dan sakit tekak. Gejala yang lebih serius meliputi sesak nafas, keletihan, dan nafas mendesah (wheezing),” jelasnya.

Tambahnya, dalam kes yang lebih teruk, HMPV boleh menyebabkan komplikasi seperti radang saluran pernafasan (bronkiolitis) dan jangkitan kuman dalam paru-paru (pneumonia).
Berbanding dengan jangkitan Covid-19, kebanyakan kes HMPV yang dilaporkan adalah dengan gejala ringan sahaja.
Kanak-kanak di bawah umur lima tahun, orang dewasa berumur lebih dari 65 tahun dan individu dengan sistem imun lemah berisiko tinggi mengalami penyakit lebih serius akibat jangkitan ini.
Sementara itu, jangkitan Covid-19 dikategorikan kepada lima tahap, di mana tahap jangkitan kategori empat dan lima diklasifikasikan sebagai jangkitan yang bahaya serta melibatkan jangkitan paru-paru dan organ-organ lain.
Jangkitan kategori lima sering kali memerlukan rawatan kritikal dan kemasukkan ke zon rawatan rapi (ICU).
Kebanyakan kes kematian akibat jangkitan Covid-19 adalah dalam kategori empat dan lima.
Manakala, kebanyakan kes HMPV dikategorikan sebagai kes ringan.
Dr. Suhash berkata, kes-kes serius HMPV melibatkan jangkitan paru-paru. Ia memerlukan bantuan pernafasan dan perlu dirawat di wad isolasi biasa dan jarang memerlukan penjagaan zon rapi.
“Pesakit HMPV selalunya sembuh sepenuhnya tanpa komplikasi.
“Jika ada pun komplikasi HMPV, ia kerap melibatkan golongan berisiko tinggi iaitu kanak-kanak di bawah umur lima tahun, orang dewasa berumur lebih 65 tahun dan individu dengan sistem imun lemah,” ujarnya.
Tambahnya, pesakit daripada golongan ini sering mendapat gejala yang serius dan dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, masalah HMPV tidak ada ubat antiviral yang khusus atau vaksinasi buat masa kini.
Dr. Suhash menjelaskan, HMPV sering melibatkan rawatan simptomatik dan rawatan komplikasi yang timbul.
“Penyelidikan untuk vaksin HMPV sedang dilakukan secara aktif oleh para penyelidik. Oleh itu, langkah-langkah pencegahan perlu diambil oleh orang ramai untuk melindungi diri daripada HMPV.
“Langkah-langkah yang boleh diambil untuk mencegah penularan HMPV termasuk mencuci tangan secara berkala, membersihkan permukaan yang sering disentuh, mengelakkan kontak rapat dengan individu sakit dan memakai penutup muka bagi mereka berisiko tinggi,” katanya.
Kesimpulannya, HMPV dan Covid-19 mempunyai persamaan dari segi penyebaran serta simptom.
Namun, simptom jangkitan HMPV lebih ringan berbanding Covid-19.
Selain itu, HMPV bukanlah virus baharu (novel) seperti Covid-19 kerana ia telah dikenal pasti sudah agak lama, cuma penularan jangkitan ini semakin meningkat.














