KLUANG – Ketiadaan bekalan termasuk kelapa daripada negara jiran, Indonesia dikatakan menjadi punca utama kenaikan harga santan kerana peniaga perlu mencari sendiri di kebun yang diusahakan penduduk.
Peniaga Santan, Ali Roslan, 40, berkata, mereka yang berniaga di Pasar Awam Kluang itu sudah lebih sebulan tidak menerima penghantaran kelapa daripada pembekal.
Katanya, keadaan ini menyebabkan peniaga perlu mencari sendiri buah kelapa tua di kebun-kebun diusahakan penduduk sekitar daerah Kluang ini bagi menampung bekalan.
“Ada peniaga terpaksa menutup sementara kedai jualan santan kerana tidak memperolehi bekalan yang sudah berlarutan sejak bulan Disember tahun lalu.
“Jika keadaan ini berlarutan, dijangka keadaan akan lebih teruk apabila menjelang Ramadan dan Syawal nanti,” katanya.
Ali berkata, pihaknya amat berharap masalah ini dapat diatasi oleh kerajaan kerana pihaknya terpaksa menjual santan pada harga agak mahal apabila mendapat bekalan daripada orang persendirian.
Seorang lagi peniaga, Nasriq Ramli, 24, berkata, pihaknya terpaksa mengambil sendiri buah kelapa tua yang dikumpul daripada pengusaha kelapa di sekitar Batu Pahat.
Ujarnya, perkara ini berlaku sejak bulan Oktober tahun lalu apabila pembekal tidak menghantar bekalan akibat daripada kekurangan bekalan daripada Indonesia.
“Pembelian kelapa di Batu Pahat pada harga RM2.80 hingga RM3.20 sebiji bergantung kepada saiz, jadi saya kena jual santan pada harga RM14 sekilogram.
“Pembekal kelapa tidak beri alasan harga naik mendadak, saya syak sebab Ramadan,” ujarnya.
















