GUNUNG Besar Hantu (GBH) merupakan gunung tertinggi di Negeri Sembilan dengan ketinggian sekitar 1,462 meter dari paras laut.
Ia terkenal dalam kalangan pendaki kerana cabaran trek yang berbukit curam, laluan berlumpur serta persekitaran yang kaya dengan flora dan fauna.
Nama ‘hantu’ yang disandarkan pada gunung ini dan sering dikaitkan dengan kisah-kisah mistik, menjadikannya lebih menarik bagi penggemar aktiviti lasak dan pencinta alam semula jadi.
Salah seorang pendaki, Fikri Bazli, atau lebih dikenali sebagai Sam Fikri tidak melepaskan peluang untuk mencabar dirinya untuk mendaki gunung tersebut buat pertama kali, baru-baru ini.
Menurut Sam, pengalaman pendakiannya sebelum itu hanya terhad kepada bukit-bukit di sekitar Selangor seperti Bukit Wawasan, Bukit Gasing, dan Lata Gapi.
“Saya memilih untuk mendaki GBH kerana mahu ‘push my limit’. Ini adalah pengalaman paling mencabar dan menyeronokkan sepanjang pengalaman saya sebagai pendaki.
“GBH ini menarik kerana terkenal dengan trek yang sukar, laluan dipenuhi pokok tinggi, lumut tebal serta kisah mistik yang dikaitkan dengan namanya.
“Saya juga dengar bahawa pandangan dari puncak GBH juga sangat memukau. Oleh itu, saya menyimpan hasrat untuk menawan puncaknya,” katanya.

Pelakon filem Lahad Datu itu mengakui bahawa tidak sempat membuat persiapan khusus sebelum mendaki kerana ia merupakan keputusan saat akhir.
Biarpun begitu, latihan rutinnya di Bukit Gasing sedikit sebanyak membantu mempersiapkan mental dan fizikalnya untuk menghadapi kesukaran mendaki.
Dari segi peralatan, Sam membawa beg kecil berisi air minuman serta mengenakan pakaian mendaki yang sesuai untuk mengelakkan kecederaan dan ketidakselesaan.
Pemuda berusia 29 tahun berkenaan berkata, dia memilih untuk mendaki secara berkumpulan kerana dia masih belum serasi dengan gunung tersebut.
“Walaupun saya tidak sempat melakukan persediaan khusus, saya tetap lakukan aktiviti pemanasan badan serta pemeriksaan peralatan sebelum memulakan perjalanan.
“Pemanasan badan sebelum mendaki penting untuk mengurangkan pelbagai risiko sekali gus tidak menyusahkan ahli kumpulan lain nanti,” katanya.
Sam dan kumpulannya memulakan pendakian pada pukul 4 pagi dan tiba di checkpoint pertama, CP Orkid, pada pukul 7.20 pagi sebelum meneruskan perjalanan.
Trek yang mereka tempuhi sangat mencabar dengan laluan licin dan berlumpur serta banyak dahan berduri dan pokok tumbang yang menghalang perjalanan mereka.
Meskipun laluan mencabar, Sam tidak mengalami kesulitan atau tersesat kerana mengikuti kumpulan dan sentiasa bertanya jika ada keraguan.
Kongsi pemuda yang turut berstatus pencipta kandungan itu lagi, cuaca ketika pendakian juga baik dengan angin sepoi-sepoi memudahkan lagi misi mereka.

“Cabaran utama kami ialah jalan yang licin, pacat yang memanjat kaki sepanjang perjalanan serta trek yang gelap.
“Walaupun begitu, kami berjaya mengatasinya dengan semangat dan kerjasama yang baik,” kata Sam.
Mengulas mengenai perasaannya ketika tiba di puncak sekitar pukul 10.30 pagi, Sam akui sukar untuk menerangkan dengan kata-kata berkenaan panorama indah dan suasana sejuk.
Sam juga mengalami pengalaman unik apabila dia berasakan perjalanan turun terasa lebih panjang dan memenatkan berbanding pendakian ke puncak.
Katanya, keunikan GBH bukan sahaja pada trek dan cuaca, tetapi keadaan flora dan fauna yang ditemuinya sepanjang perjalanan.
“Selain mossy tree dan akar pokok yang unik, saya juga melihat tupai comel di puncak serta beberapa spesies tumbuhan yang menarik perhatian saya.
“Saya hanya mampu tersenyum setiba di puncak. Sayangnya, pemandangan yang cantik terlindung dengan awan tebal yang memutih, mungkin disebabkan faktor cuaca,” kongsinya.














