GOPENG – Kehidupan selesa yang dinikmati seorang bekas tauke restoran dan kontraktor berakhir derita apabila bukan sahaja hartanya habis dibolot isteri, malah dia kini tersisih sebelum dibuang di sebuah pusat kebajikan di sini.
Lelaki berusia 63 tahun itu memberitahu, dia menerima nasib yang tidak pernah dia bayangkan itu selepas menjadi papa dan menghidap penyakit buah pinggang kronik.
Bapa kepada sembilan anak itu berkata, segalanya bermula selepas dia menyerahkan semua perniagaan, wang tunai, simpanan dan aset kepada isterinya sebelum dibuang ibarat habis madu sepah dibuang.
“Sebelum ini saya merupakan pemilik restoran dan kontraktor di Bayan Lepas, Pulau Pinang dengan pendapatan puluhan ribu ringgit sebulan.
“Bermula dengan perniagaan di tepi jalan, nasi lemak, kuih-muih dan lauk pauk saya laris hingga mampu membuka restoran. Saya kemudian menjadi kontraktor kecil-kecilan membina rumah dan longkang di sekitar perkampungan di Bayan Lepas,” katanya ketika ditemui di Pondok Al-Jaafar di sini baru-baru ini.
Menurut lelaki itu, berkat perniagaan itu dia mampu membeli tanah, membina rumah selesa selain mempunyai kereta Honda City, trak pikap dan van yang dibeli secara tunai.
Tambahnya, dia kemudian menyerahkan urusan perniagaan termasuk menukar nama harta kepada isterinya kerana terlalu mempercayai wanita itu.
“Sikit-sikit saya mula disisihkan daripada terlibat dengan perniagaan. Bukan itu sahaja, hendak makan di situ pun kena bayar walhal saya pengasasnya,” katanya sebak.
Ujar lelaki itu, keadaan itu menyebabkan status kontraktornya terjejas hingga terpaksa berhenti kerana gagal menyiapkan projek dan hutang kepada pembeli tidak dapat dijelaskan mengikut tempoh ditetapkan.
“Sejak beberapa tahun lalu, isteri saya juga seakan-akan tidak membenarkan saya tidur di rumah dan bergaul dengan anak-anak. Dia juga menuduh saya mempunyai wanita simpanan,” katanya.
Beliau berkata, bekas isteri semasa itu sering mengugut minta diceraikan dan beberapa kali menghalaunya dari rumah.
Dakwanya, sebelum ini kedua-dua keluarga termasuk mentua bukanlah berasal daripada golongan berada kerana hanya bekerja kampung sebagai buruh harian dengan gaji tidak seberapa sebelum dikurniakan sedikit kesenangan.
“Selepas dibuang, saya menumpang tidur di masjid, surau dan rumah kenalan berdekatan untuk berteduh, namun pada masa sama tahap kesihatan semakin merosot akibat sakit buah pinggang kronik,” katanya.
Menurut lelaki itu, dia kemudian dibuang oleh bekas isterinya ke pondok itu bulan lalu sebelum wanita itu bergegas meninggalkan premis itu dengan memecut laju kereta dipandunya.
“Sejak itu, mereka dan anak-anak tidak menjenguknya saya di sini.
“Saya hanya mengharapkan ihsan Pondok Al-Jaafar dan rakan-rakan di sini untuk menguruskan diri kerana tidak boleh berdiri dan duduk lama. Kebanyakan masa hanya terlantar di atas katil,” katanya.
Tambahnya, dia ibarat hanya menunggu mati di situ dan malangnya kehidupan yang indah bersama bekas isteri, anak-anak dan cucu hanya sekadar mimpi.
“Jika difikirkan, ini semua adalah suratan yang telah tertulis tetapi sungguh saya tidak sangka isteri akan melakukan demikian terhadap saya,” katanya.














