KESUKARAN individu berkerjaya mendapat pasangan hidup telah mendorong wujudnya aplikasi yang memudahkan orang ramai mencari jodoh.
Namun begitu, kepelbagaian platform sosial atau dating online telah mengundang kepada beberapa isu termasuk keselamatan diri akibat scam (penipuan).
Tambahan pula, akses untuk portal atau aplikasi mencari jodoh yang patuh syariah terhad, sekali gus menjadikan proses mencari pasangan secara online semakin diragui.
Mengambil langkah untuk membantu orang ramai mencari jodoh dengan selamat, seorang pemuda tempatan, Khairul Fadhli Abdul Samah telah mengasaskan portal serta aplikasi Tilljannah.my.
Menurutnya, idea mewujudkan aplikasi tersebut adalah hasil pemerhatiannya terhadap situasi semasa, di mana ramai individu bekerjaya dan sudah layak berkahwin masih tidak bertemu jodoh.
“Idea untuk membangunkan Tilljannah.my bermula sekitar awal tahun 2016. Ia hanya mengambil masa beberapa bulan sebelum dilancarkan pada Mac tahun sama.
“Pada ketika itu, tidak banyak akses kepada platform mencari jodoh secara dalam talian terutama yang patuh syariah.
“Disebabkan itu, saya membangunkan portal ini bagi membantu mereka yang ingin mencari jodoh dan berkahwin,” katanya ketika dihubungi K-Tekno baru-baru ini.
Tambahnya, pembangunan aplikasi itu menekankan kepada beberapa aspek utama seperti mudah akses, privasi terjamin, pendekatan islamik dan sokongan pengguna.
Katanya lagi, dalam aspek mudah akses, aplikasi itu direka secara mesra pengguna, di mana setiap individu boleh mendaftar dengan ringkas beserta gambar.
Mereka tidak perlu mendedahkan sebarang dokumen penting seperti kad pengenalan, sebaliknya hanya perlu mengisi maklumat asas sebagai pengenalan diri dan gambar sebenar.

“Akses kepada portal dan aplikasi berbeza bergantung kepada pakej langganan yang diambil oleh pengguna, namun pengguna boleh mendaftar secara percuma dan melihat senarai pengguna lain selepas akaun mereka disahkan.
“Namun begitu, pengguna percuma hanya boleh melihat dan menghantar mesej kepada pengguna yang mereka minat tetapi tidak boleh membaca balasan,” ujarnya.
Kongsinya lagi, dari aspek privasi, aplikasi itu tidak memerlukan pengguna menyertakan sebarang dokumen penting sebagai langkah untuk mengelak kebocoran data.
Maklumat peribadi seperti nama, nombor telefon dan e-mel dirahsiakan serta tidak dipaparkan dalam profil pengguna.
Selain itu, setiap akaun baharu akan disemak secara manual oleh kakitangan Tilljannah.my sebelum disahkan untuk mengakses portal atau aplikasi.
Portal dan aplikasi itu juga menggunakan sistem anti-SEO untuk melindungi profil supaya identiti pengguna tidak dapat dijumpai melalui enjin carian lain.
Aspek pendekatan islamik pula merupakan salah satu ciri yang membezakan Tilljannah.my dengan aplikasi jodoh lain.
“Kita menekankan konsep patuh syariah, di mana gambar profil ditapis untuk menjaga aurat pengguna. Sistem kawalan ini diperkenalkan bagi memastikan semua ahli mematuhi panduan yang ditetapkan.
“Selain itu, Tilljannah.my merupakan aplikasi yang dekat dengan pengguna. Aplikasi ini sentiasa membuka saluran untuk pengguna berhubung dengan kami sama ada secara talian atau media sosial,” jelasnya.
Khairul Fadhli memaklumkan, pihaknya sentiasa menambah baik pengalaman pengguna supaya matlamat untuk membantu mereka mencari pasangan hidup tercapai.
Untuk makluman, aplikasi Tilljannah.my telah berjaya membantu ribuan pengguna mendapatkan jodoh.















