“Saya memilih menyambung pengajian dalam bidang automotif ini pertamanya tidak lain tidak bukan kerana minat mendalam dalam bidang mekanikal automotif.
“Kedua saya sudah merancang dengan anak sulung selepas tamat pengajian kelak untuk membuka pusat servis kenderaan sebagai satu bentuk perniagaan keluarga yang akan kami usahakan bersama,” kata Mohd. Safuan.
Ujarnya, anak sulung lelakinya, Muhammad Zaim Zarfan, 22, kini sedang menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Perniagaan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Mohd. Safuan yang sebelum ini merupakan graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, keputusan menyambung pengajian bagi mendapatkan diploma keduanya itu diputuskan tahun lalu dengan niat untuk menambah lagi ilmu mengenai kejuruteraan mekanikal dan automotif dengan ilmu-ilmu terkini memandangkan teknologi dalam bidang automotif yang sentiasa berkembang.
Difahamkan, jurusan automotif di Politeknik Port Dickson juga memang popular dan ramai mengikutinya.
Jelas Mohd. Safuan, keputusan menyambung pengajian terbabit dibuat selepas berbincang secara terbuka dengan keluarga terutama isteri, Norhafiza Awang Idris dan kedua-dua cahaya matanya.
“Sebelum menyambung pengajian, saya telah duduk bersama keluarga dan berdiskusi dengan mereka tentang hala tuju keluarga kami di masa hadapan.
“Alhamdulillah mereka memahami hasrat saya untuk sambung pengajian dan menyokong penuh usaha yang saya lakukan ketika ini,” katanya.
Ujar bekas Pengurus Agensi Kumpulan (Unit Trust & Takaful) yang pernah menerima Anugerah Agensi Jutaan Ringgit sebelum ini, dia langsung tiada masalah menyambung pengajian sepenuh masa kerana tidak lagi bekerja.
Akuinya, dia memilih untuk bersara daripada pekerjaan pada usia 40 tahun dan seterusnya mengikut sahaja perancangan yang telah disusun.
“Memang sasaran saya apabila cukup saja duit simpanan pada usia 40 tahun, saya tidak lagi mahu bekerja dan akan bersara.
“Jadi dalam tempoh enam ke tujuh tahun ini, saya hanya duduk di rumah tanpa bekerja dan menerima gaji tetap setiap bulan seperti sebelumnya.
“Pun begitu sejak tahun lalu, saya terdetik mahu membuka pusat servis kenderaan bersama anak dan disebabkan itu saya nekad sambung belajar untuk menambah ilmu,” katanya yang turut memiliki Sijil Kejuruteraan Mekanikal dari Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Perak.

Berkongsi mengenai jadual dan waktu kelasnya ketika ini, dia yang kini berada di semester satu pengajian sepenuh masa selama tiga tahun itu memberitahu mengambil lapan subjek bersamaan dengan 18 jam kredit.
Ditebak mengenai cabaran yang dihadapi ketika menyambung pengajian pada usia sebegini, Mohd. Safuan mengakui cabaran utama adalah dari segi masa.
Katanya, masa di situ bermaksud dia terpaksa menghabiskan banyak waktu yang disifatkan terbuang di atas jalan raya ketika perjalanan pergi dan pulang ke kampus.
“Saya menetap di Seremban dan kampus induk saya di pekan Port Dickson.
“Jarak antara rumah dan kampus sekitar 45 kilometer dan mengambil masa 45 minit ke satu jam sehala.
“Jika pergi dan pulang pasti sudah memakan masa sekitar dua jam secara keseluruhan. Itu belum ambil kira trafik sesak atau cuaca kurang baik,” katanya yang tetap bersemangat mahu menamatkan pengajian hingga selesai.
Dia yang juga pernah menyertai kursus dan latihan kejuruteraan di Centre of Advanced Materials di Universiti Malaya sebelum ini menyifatkan bertuah dilahirkan di Malaysia kerana kerajaan menyediakan banyak pusat pengajian dan seharusnya diambil peluang sedemikian tanpa mengira usia dan status.
Berkongsi pengalamannya setelah mula mengikuti pengajian di Politeknik Port Dickson pada Isnin lalu, lelaki itu memberitahu dirinya ketika itu sangat teruja.
Menyentuh mengenai cabaran belajar bersama-sama pelajar-pelajar yang lebih muda seakan usia anaknya, Safuan berkata:
“Saya kena berfikiran terbuka kepada semua peringkat usia dan ia akan memudahkan untuk saya bergaul dengan mereka. Rakan-rakan sekelas saya juga suka berdiskusi dan bertukar-tukar pandangan dari sudut pandang yang berbeza usia.”














