fbpx
MOHD. YAZID melihat kerja-kerja baik pulih banglonya masih dilakukan di Kampung Tanjung, Batu Rakit di Kuala Nerus semalam.

‘Setiap malam tengok mahligai cinta’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA NERUS – Pesara yang bakal kehilangan banglo RM600,000 akibat fenomena ombak besar setiap malam akan berjalan kaki untuk melihat kediamannya itu yang merupakan kenangan terindah bersama arwah isteri selama tujuh tahun.

Selepas banglo itu disahkan tidak selamat didiami, dia dan anak perempuan serta menantu terpaksa akur berpindah ke inap desa yang terletak tidak jauh dari situ.

“Malam tadi dan seterusnya, saya akan berjalan kaki meninjau (banglo) sambil mengimbau kenangan indah sepanjang tujuh tahun terutama ketika arwah isteri, Siti Rashiddah Mohd. Yunos masih ada (hidup),” katanya ketika ditemui di Kampung Tanjung, Batu Rakit di sini semalam.

Kosmo! Sabtu lalu melaporkan Mohd. Yazid dengan bantuan anak perempuan dan menantu membanting tulang membina benteng daripada guni pasir bagi menyelamatkan banglo mereka yang sedang diancam hakisan pantai kronik.

Banglo dibina dengan wang persaraan RM600,000 pada 2018 itu amat bererti buat Mohd. Yazid kerana dibina sebagai tanda cinta terhadap arwah isterinya yang meninggal dunia akibat kanser usus pada enam tahun lalu.

“Saya tunggu musim tengkujuh reda dan projek pembinaan benteng pemecah ombak siap.

“Selepas itu baru saya memikirkan perancangan selanjutnya tentang kediaman ini,” katanya.

Mohd. Yazid berkata, selain memenuhi hasrat arwah isteri­nya, membina banglo di tepi pantai merupakan impiannya sejak kecil kerana mencintai keindahan alam semulajadi yang jauh dari kesibukan kota raya.

“Semasa isteri masih hidup, kami sering datang ke Terengganu dan mencandat sotong di perairan Marang.

“Kami memang suka datang melancong ke negeri ini sehinggalah arwah isteri meluahkan hasrat memilih tempat ini sebagai kediaman kami dalam menghabiskan sisa hidup hari tua,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN