fbpx
Ahmad Zaim memegang kertas tertera ‘Sepatutnya hari ini saya nikah 17.01.2021’ ketika bertugas di SJR Brickfield, Kuala Lumpur, pagi semalam.

‘Sepatutnya hari ini saya nikah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAMPIN – Sepatutnya dia telah bergelar suami, namun demi tugas dan tanggungjawab dalam memutuskan rantaian Covid-19, seorang anggota polis berpangkat konstabel sanggup menangguhkan majlis nikah yang dija­dualkan berlangsung semalam.

Konstabel, Ahmad Zaim Nasreen Musa, 26, yang berasal dari Felda Jelai, Gemas berkata, dia sepatutnya bernikah dengan seorang pekerja swasta, Mas Ayuvita Azizul, 24, di Masjid Felda Palong 8 pukul 10 pagi semalam, namun perancangan itu terpaksa ditangguhkan ekoran pelaksa­naan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ekoran itu, dia yang merupakan anggota Unit Pencegahan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfield ditugaskan menjaga sekatan jalan raya (SJR) di Brickfield Kuala Lumpur.

Kad undangan perkahwinan Ahmad Zaim dan pasangan yang tular di laman sosial sejak semalam.

Menurut Ahmad Zaim, dia nekad untuk memegang kertas yang tertera tulisan ‘Sepatutnya hari ini saya nikah 17.01.2021’ ketika bertugas semalam bagi me­ningkatkan kesedaran orang awam untuk sama-sama bertanggungjawab memutuskan ­ran­tai­an Covid-19.

Selain itu, ia bagi memujuk hati bakal isterinya susulan pernikahan mereka terpaksa ditunda ke tarikh yang lebih sesuai.

“Insya-Allah, keluarga kedua-dua belah pihak faham dengan keadaan ini (tangguh majlis). Sedih, memang sedihlah tetapi di­sebabkan perbezaan negeri dan status kawasan (zon kuning dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) terpaksa tundalah.

“Takut pula nanti terjadi kluster baharu. Buat masa ini, kami masih tiada tarikh untuk majlis nikah, namun berkemungkinan ia akan dilaksanakan selepas PKP tamat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Bercerita lanjut, Ahmad Zaim berkata, dia sudah mengenali bakal isterinya kira-kira empat tahun dan mereka merancang untuk berkahwin tahun lepas.

Menurutnya yang telah dua tahun berkhidmat dalam pasukan polis, majlis nikah dirancang sehari sebelum tarikh lahir Mas Ayuvita pada hari ini, 18 Januari.

“Ini kali pertama kita berhadapan dengan pendemik ini. Saya harap agar orang awam memberikan kerjasama untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dalam menangani Covid-19.

“Suruh duduk rumah itu memang susah tapi kalau boleh jika tiada urusan penting atau mustahak, duduklah dalam daerah masing-masing,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN