Seorang bapa membuat luahan melalui sebuah video di media sosial mengenai anaknya yang mendapat markah kebanyakan semua A dalam ujian akhir sesi akademik (UASA), tetapi mendapat Tahap Penguasaan (TP) 3 dalam pentaksiran bilik darjah (PBD).
Luahan itu mendapat perhatian ramai bukannya mengutuk urusan Kementerian Pendidikan, tapi pening apabila pemarkahan dilihat tidak seimbang.
Bagi anak yang bijak dalam pelajaran sudah tentunya dapat skor UASA, tetapi malangnya dia seorang introvert di dalam kelas, alamat markah PBD akan turut rendah.
Permasalahan itu dihadapi sejak beberapa tahun ini dengan harapan ada penyelesaian mengenai ketidakseimbangan markah dalam kalangan murid itu. Isu murid-murid introvert dalam kelas ini sukar hendak diatasi.
Selain isu TP yang tidak seimbang, ada satu lagi masalah ibu bapa iaitu markah UASA anak-anak akhir tahun ini kebanyakannya rendah.
Rungutan mengenai ini ‘bersepah’ di media sosial sehingga ada guru-guru memuat turun video ketika membuat pemarkahan kertas soalan. Memang soalannya susah dan jawapannya pula merapu.
Pengalaman peribadi memang boleh tercekik makan kalau melihat markah UASA anak sendiri yang jauh ke ‘laut dalam’.
Ada ibu bapa yang rapat turut meluahkan untuk menamatkan kelas KAFA anak-anak pada sebelah petang pada sesi persekolahan tahun depan bagi menghantar anak ke kelas tambahan.
Ramai ibu bapa berkerut dahi lihat anak mendapat markah teruk terutama Matematik. Itu belum lagi mengarang 100 patah perkataan.
Tidak mahu menyalahkan sesiapa sebab sudah ‘penat berbalah’, jawapannya kena tambah belanja tahun hadapan untuk kelas tambahan bagi mata pelajaran teras.
Satu lagi, isu persekolahan adalah apa yang murid-murid perlu buat ke sekolah selepas cuti seminggu ini tamat. Sebabnya lepas cuti seminggu tamat pada 30 Disember, sesi persekolahan masih belum tamat. Masih berbaki kira-kira tiga minggu lagi sebelum cuti akhir tahun selama sebulan bermula 18 Januari.
Sebelum cuti sekolah seminggu ini, kira-kira sudah dua minggu juga murid-murid ke sekolah, namun tidak belajar kerana UASA sudah tamat.
Dalam tempoh itu kehadiran begitu merosot dan hampir separuh kelas tidak hadir kerana ‘urusan peribadi’ dan ‘direhatkan’ seperti dipaparkan dalam kumpulan WhatsApp kelas.
Kalau sudah cuti awal-awalkan senang, kata seorang teman, lebih awal pelarasan sesi persekolahan kembali asal dapat dilaksanakan, tidak perlu tunggu tahun 2026.
Jangan lupa pertengahan tahun depan sebelum cuti akhir penggal sesi 2024 murid akan menerima Bantuan Awal Persekolahan, belilah keperluan sekolah yang sepatutnya, bukan beli baju raya.














