Tahun 2024 berada di ufuk, manakala 2025 bakal menyingsing. Tahun ini menyaksikan dunia hampir melihat Perang Dunia Ketiga berikutan perkembangan perang Russia di Ukraine. Kali terakhir situasi cemas seperti ini berlaku adalah Krisis Peluru Berpandu Cuba dalam tahun 1962.
Dunia menarik nafas lega kerana perang besar-besaran tidak tercetus di sebalik perkembangan menunjukkan seperti ada pihak mahukan perang sejagat ini.
Keadaan bertambah genting selepas garisan merah demi garisan merah yang ditetapkan Presiden Vladimir Putin dilanggar begitu sahaja oleh Barat yang diterajui Amerika Syarikat (AS). Kremlin tidak berjenaka apabila mengeluarkan perintah siap siaga kepada unit tentera nuklearnya yang dilengkapi misil pemusnah bandar dan negara, RS-28 Sarmat atau lebih dikenali sebagai Satan 2.
Namun, amaran Kremlin dipandang sepi oleh NATO dengan Presiden Joe Biden lewat tahun ini memberi lampu hijau kepada Kyiv melancarkan peluru pandu balistik berketepatan tinggi milik AS untuk menyerang lebih jauh ke dalam wilayah Russia.
Ukraine yang dibantu NATO melancarkan serangan darat pertama ke dalam wilayah Russia sejak Perang Dunia Kedua, juga mencemaskan dunia.
Ketika itu, situasi ibarat telur di hujung tanduk. Ia ditambah dengan penglibatan jiran negara K-Pop menghantar beribu-ribu anggota tentera untuk membantu Moscow.
Berdasarkan perkembangan ini, Moscow membedil misil balistik antara benua yang mustahil dipintas ke Ukraine sebagai amaran dan penegasan kepada Barat. Ia adalah penggunaan misil antara benua pertama sejak Perang Dunia Kedua.
Namun, sekali lagi, letupan peluru berpandu itu langsung tidak menggentarkan NATO.
Nun jauh di seberang Benua Eropah, Israel melancarkan serangan paling dahsyat ke atas Gaza dan Lebanon, menggunakan semua bom konvensional dalam simpanannya dan yang dibekalkan oleh Washington.
Baru-baru ini, dunia dikejutkan pula oleh kejatuhan mendadak rejim Syiah Alawiyah pimpinan Presiden Bashar al-Assad di Syria selepas bertahan lebih satu dekad. Ia satu-satunya rejim yang gagal ditumbangkan Barat selepas kebangkitan dikenali sebagai Arab Spring.
Sebenarnya, kejatuhan Bashar adalah kesedaran Moscow bahawa Russia perlu berundur dari senario Asia Barat dan tidak melindungi rejim yang dimusuhi Israel.
Mungkin juga Vladimir Putin baru sedar bahawa krisis Ukraine yang dihadapi adalah perang ‘diversion’ bagi melemahkan pengaruh Moscow di Asia Barat.
Bagi Israel, empayar Israel Raya adalah segala-galanya dan Tel Aviv akan menentang siapa sahaja yang campur tangan sekali pun kuasa besar dunia seperti Russia.
Pengunduran Moscow dari Syria adalah bersifat strategik dan penting untuk tidak melemahkan lagi empayar Russia. Tahun 2025 mungkin menyaksikan keamanan wujud di Eropah Timur dengan gencatan senjata menamatkan perang Ukraine dilaksanakan.
Namun, tahun hadapan juga mungkin menyaksikan rantau Syam yang terdiri daripada Palestin, Lebanon dan Syria ‘terbakar’ dalam kancah perang dahsyat.
2025 juga meramalkan Iran berada dalam situasi ‘telur di hujung tanduk’ dengan sasaran Israel kini tertumpu pada musuh ketatnya, Teheran.














