RANTAU PANJANG – Kerancakan pelbagai aktiviti sama ada yang halal atau haram di Sungai Golok kini semakin merudum apabila kesemua pengusaha bot tidak lagi dapat mencari makan selepas kawasan itu dipantau ketat pihak berkuasa sejak 1 Disember lalu.
Kawasan yang dahulunya meriah, sekarang sudah mati apabila orang ramai termasuk pelajar sekolah tidak berani menyeberangi Sungai Golok secara haram selepas ia dikawal Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan.
Tinjauan Kosmo! di pangkalan haram Paun di sini mendapati, banyak bot penambang tersadai apabila pelanggan tetap mereka yang tinggal di Sungai Golok, Thailand memilih untuk masuk ke Malaysia melalui Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.
Pengusaha bot, Mat Yakob, 45, berkata, pendapatannya hilang 100 peratus apabila tiada yang mahu menaiki pengangkutan air itu untuk merentas Sungai Golok selepas banjir surut dua minggu lalu.
Katanya, sebelum ini dia boleh mendapat RM300 sehari apabila botnya dinaiki hampir 100 penumpang terutamanya pada Sabtu dan Ahad.
“Tambang sehala ke Sungai Golok, Thailand RM3. Biasanya saya akan ambil penumpang dari Malaysia ke Thailand. Selepas itu, saya ambil penumpang lain dari sana ke sini.
“Dalam tempoh seminggu ini, saya hanya dapat tiga penumpang. Itu pun saya terpaksa sorok-sorok bawa mereka menaiki bot pada waktu awal pagi dan senja,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Sebelum ini, media melaporkan polis akan menahan individu termasuk pelajar sekolah yang menggunakan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok untuk merentasi sempadan Malaysia-Thailand mulai 1 Disember.
Tindakan itu diambil mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen, yang memperuntukkan denda sehingga RM10,000 jika sabit kesalahan.

Ia ekoran terdapat laporan mengatakan hampir 500 murid dan pelajar dari Thailand menggunakan pangkalan haram setiap hari bagi merentasi Sungai Golok untuk bersekolah di Malaysia.
Mereka dikenakan caj RM1 oleh pengusaha bot. Antara pangkalan yang menjadi tumpuan ialah Jambu, Ibrahim Pencen dan Paun.
Seorang lagi pengusaha bot, Wahid, 45, kebanyakan penduduk dan orang ramai takut untuk merentas Sungai Golok melalui pangkalan haram kerana risau ditahan anggota PGA.
Menurutnya, kes-kes tangkapan berkait kes rentas sempadan baru-baru ini menyebabkan ramai yang memilih laluan sah melalui ICQS meskipun jaraknya lebih jauh.
“Tiada lagi penduduk yang berani melintas sempadan melalui pangkalan haram kerana semua takut kena tangkap. Tidak berbaloi membayar tambang RM3, tetapi kena denda RM10,000.
“Kebanyakan penumpang yang menggunakan pangkalan haram ke Thailand sebelum ini hanya bertujuan untuk makan dan bersiar-siar di negara berkenaan sahaja,” katanya.
Menurut Wahid, dia mengakui pendapatannya terjejas sejak penguatkuasaan ketat pihak berkuasa di sekitar Sungai Golok bermula 1 Disember lalu.
Pok Wan, 50, pula berkata, dia bercadang mencari pekerjaan lain jika keadaan itu berterusan kerana dia ada keluarga yang perlu ditanggung.
Menurutnya, kebanyakan penduduk di pinggir Sungai Golok melakukan pelbagai pekerjaan melibatkan kegiatan rentas sempadan sejak puluhan tahun lalu.
“Sebagai penduduk di sini, pendapatan kami terjejas apabila tidak dapat menjalankan sebarang kegiatan ke seberang.
“Saya sangat sedih. Ini pekerjaan saya sejak sekian lama, tetapi terpaksa akur dengan undang-undang,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga kedai makan di pekan Sungai Golok, Thailand, Saadah, 49, mengakui bahawa pelanggannya sebelum ini terdiri daripada rakyat Malaysia yang merentas
Sungai Golok melalui pangkalan haram.
Menurutnya, premisnya yang menjual masakan panas ala Thai sunyi sejak dua minggu lalu apabila kurang kunjungan pelanggan dari Malaysia.
“Orang ramai yang masuk ke Sungai Golok melalui laluan sah tidak akan singgah makan di sini kerana jaraknya jauh.
“Kedai saya terletak di pinggir Sungai Golok dan mudah untuk orang yang merentas sungai apabila boleh terus makan di sini,” katanya ketika dihubungi.














