fbpx
SEBAHAGIAN peserta yang mengambil bahagian dalam program Environment Trail Run 2024 di Paya Indah Wetlands, Dengkil, Selangor baru-baru ini.

RAS UiTM SC anjur larian lestari demi alam sekitar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGI memupuk kesedaran awam menjaga dan melindungi alam semula jadi, program berkaitan usaha tersebut haruslah sentiasa diadakan.

Oleh yang demikian, Persatuan Rakan Alam Sekitar UiTM Shah Alam (RAS UiTM SC) antara pihak yang komited terhadap usaha tersebut.

Baru-baru ini, RAS UiTM SC telah menganjurkan program Environment Trail Run 2024 yang diadakan di Paya Indah Wetlands, Dengkil, Selangor.

Pengarah program merangkap Naib Presiden 2 RAS UiTM SC, Nur Baizatul Emylia Ishak berkata, aktiviti itu diadakan sempena Hari Alam Sekitar Negara 2024 yang bertemakan ‘Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama’.

Menurutnya, program itu diadakan untuk menggalakkan kesedaran awam dalam usaha menjaga dan melindungi keindahan alam semula jadi.

“Program ini dimulakan dengan inisiatif pengumpulan e-sisa (e-waste) dan ‘3R Collection’ dengan kerjasama KDEB Waste Management Sdn. Bhd. dan TM Enviro Industries Sdn. Bhd..

“Manakala sesi Trash to Treasure melibatkan sukarelawan yang membantu komuniti setempat mengitar semula barangan terpakai untuk mengelakkan pembaziran dan memberi manfaat kepada alam sekitar,” katanya.

Tambahnya, aktiviti itu bukan sahaja mengurangkan sisa, malah memberi impak positif kepada ekosistem serta memelihara keindahan alam semula jadi di kawasan tersebut.

Dalam program tersebut, para sukarelawan telah berjaya mengumpul sejumlah besar barangan elektronik terpakai dan bahan kitar semula.

Pihak penganjur berjaya mengumpul sebanyak 193 kilogram (kg) bagi e-sisa dan 276.5kg sisa pukal.

Para peserta perlu merentasi pelbagai halangan sewaktu larian sejauh 12 kilometer.

Nur Baizatul Emylia berkata, sesi Trash To Treasure bermula dengan sesi penerangan mengenai kepentingan pelupusan sisa elektronik kepada komuniti setempat oleh sukarelawan.

“Kemuncak program Environment Trail Run 2024 menyaksikan para peserta mendepani cabaran larian sejauh 12 kilometer yang merentasi kawasan hutan.

“Laluan trek mencabar, namun indah ini bukan sahaja memberikan pengalaman mendebarkan, malah membolehkan peserta menghargai keindahan semula jadi,” jelasnya.

Dalam pada itu, Nur Baizatul Emylia berharap program itu dapat memberi impak positif kepada peserta dan urus setia yang terlibat dengan menerapkan elemen penjagaan serta pemuliharaan alam sekitar.

“Diharapkan program ini bukan sahaja berjaya meningkatkan kesedaran mengenai pemuliharaan alam sekitar, bahkan mengukuhkan semangat komuniti dalam usaha melindungi khazanah semula jadi negara.

“Kami juga berharap program ini akan memberi inspirasi kepada lebih ramai pihak untuk terus mendukung inisiatif yang memupuk kecintaan terhadap alam sekitar,” katanya.

Tambahnya, dengan sokongan berterusan daripada masyarakat dan pihak berkepentingan, RAS UiTM SC bertekad untuk menjadikan program seperti itu sebagai platform berkesan dalam memelihara ekosistem bagi generasi akan datang.

Sementara itu, Penasihat Persatuan RAS UiTM SC, Ts. Nur Ain Mohd. Zainuddin berkata, program Environment Trail Run 2024 adalah inisiatif kedua terbesar pelajar prasiswazah UiTM yang pernah dianjurkan oleh pihaknya.

Terangnya, program itu memberi peluang kepada mereka menyebarkan kesedaran tentang kepentingan penjagaan alam sekitar sempena dengan Hari Alam Sekitar Negara 2024.

“Program ini berjaya menarik minat peserta daripada pelbagai peringkat usia.

“Ini secara tidak langsung dapat memainkan peranan penting dalam usaha membentuk generasi yang lebih prihatin terhadap isu-isu alam sekitar.

“Diharapkan program ini dapat menjadi platform yang berterusan untuk pendidikan dan kesedaran alam sekitar.

“Ini sekali gus menyumbang kepada usaha menangani amalan pembakaran terbuka dan ancaman-ancaman lain terhadap persekitaran,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN