fbpx
mustakim terkejut apabila melihat terlalu banyak makhluk ghaib di sekelilingnya selepas hijab mata dibuka oleh seorang pengamal perubatan tradisional dari Indonesia. –Ilustrasi Shah Hasan

Padah minta dibuka hijab, lihat makhluk ghaib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MINAT pemuda itu terhadap genre mistik mula berputik sejak di bangku sekolah kerana terlalu kerap menonton cerita-cerita seram di televisyen.

Tidak kira cerita dari dalam atau luar negara, dia tidak akan melepaskan peluang untuk menontonnya, malah akan ke panggung wayang jika ada filem seram baharu.

Menurutnya, selepas meningkat dewasa dan melanjutkan pelajaran ke universiti, Mustakim (bukan nama sebenar) mengakui, dia semakin obses dengan dunia mistik.

“Semasa di universiti, saya mempunyai empat lagi rakan yang memiliki minat sama terhadap hal mistik. Jadi, kami buat aktiviti cari hantu seperti dalam sebuah rancangan televisyen popular pada suatu ketika dahulu.

“Kami pernah ke pelbagai tempat yang dikatakan seram seperti Highland Tower, Mimaland, malah hingga ke Villa Nabila untuk merasai sendiri pengalaman berada di tempat berhantu,” katanya.

Dalam setiap ekspedisi mencari hantu, Mustakim mengakui, dia banyak berdepan gangguan tetapi ia sekadar bunyi hempasan pintu atau suara wanita menangis.

Kongsinya lagi, dia tidak pernah melihat sendiri susuk hantu di hadapan mata, sekali gus membuatkannya tidak berpuas hati dan mahu meneroka lebih banyak tempat ‘keras’.

Pada suatu hari, Mustakim menonton sebuah filem tentang aktiviti membuka hijab sehingga membuatkannya mahu mencuba perkara itu.

Sejak itu, Mustakim banyak membuat carian dan kajian tentang aktiviti membuka hijab mata termasuk mencuba pelbagai saranan dalam internet, namun semuanya tidak berjaya. Sehinggalah pada suatu hari, dia berkenalan dengan seorang pelajar junior yang baru menyertai kumpulan mencari hantu diasaskannya.

“Pelajar itu mempunyai bapa saudara yang merupakan seorang pengamal perubatan tradisional di Indonesia dan memiliki keupayaan membuka hijab.

“Mengetahui hal itu, saya tertarik untuk mencubanya dan mahu berjumpa dengan bapa saudara pelajar tersebut,” kongsinya.

Permintaan Mustakim itu awalnya ditolak oleh pelajar berkenaan kerana membuka hijab bukan perkara main-main.

Bukan semua insan boleh bertahan melihat makhluk ghaib yang ada di sekeliling manusia.

Namun, nasihat itu tidak diendahkan dan Mustakim tetap ingin berjumpa bapa saudara pelajar tersebut.

Mahu tidak mahu, pelajar junior itu terpaksa akur dan meminta Mustakim menunggu sehingga bapa saudaranya datang ke Malaysia.

Apabila bapa saudara pelajar junior tersebut datang melawat keluarga di Malaysia, Mustakim terus pergi berjumpa dengan lelaki yang dipanggil Pak Cik itu.

“Semasa berjumpa dengan Pak Cik, dia menasihati saya supaya membatalkan niat tersebut, namun saya tetap berkeras mahukannya.

“Disebabkan itu, dia menuruti permintaan saya dan membuat ritual untuk membuka hijab. Perkara itu terus mengubah perasaan ingin tahu kepada penyesalan yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata,” jelasnya.

Katanya lagi, setelah membuka hijab mata, Mustakim dapat melihat semua makhluk ghaib yang ada di sekelilingnya.

Menurutnya, rupa makhluk ghaib yang dilihatnya sangat menyeramkan.

Malah, dia tidak boleh bergerak dari tempat duduk kerana makhluk ghaib sangat banyak di sekelilingnya.

Hal itu membuatkannya menjerit histeria dan meraung supaya ditutup semula hijabnya. Permintaan Mustakim itu terus dilakukan oleh Pak Cik.

“Selepas hijab saya kembali ditutup, saya terdiam kaku mengenangkan rupa makhluk ghaib yang dilihat tadi. Selepas itu, Pak Cik memberi air penawar untuk menenangkan saya.

“Selepas peristiwa itu, baru saya faham maksud sebenar buka hijab mata. Bukan semua orang boleh buat begitu dan saya tidak mahu lagi melakukannya,” ujarnya.

Sejak peristiwa itu, Mustakim tidak lagi melakukan aktiviti mencari hantu kerana dia sering bermimpi perkara aneh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN