KEMATIAN pasti akan dihadapi oleh setiap makhluk yang bernyawa, tidak lewat atau cepat sesaat jika sudah tiba masanya.
Walaupun ada hartawan yang sanggup berhabis wang untuk memastikan kesihatannya kekal, namun sebagai seorang Muslim, kita perlu menerima qada dan qadar sudah tertulis di Loh Mahfuz. Kisah mitos kali ini bukan berniat memburukkan sesiapa, tetapi untuk dijadikan pedoman dan iktibar dalam kehidupan seharian.
Peristiwa yang berlaku 10 tahun lalu itu diceritakan oleh seorang usahawan dari Kuala Selangor yang ingin dikenal sebagai Sharif Alang, 52.
Menurut Sharif, peristiwa menyeramkan yang ingin diceritakan itu melibatkan keluarga terdekat yang meninggal secara mengejut.
“Kematian Pak Long Mat memang menjadi topik hangat dalam keluarga dan orang kampung kerana dia kuat bekerja dan sihat, walaupun sudah masuk ‘enam siri’ atau lebih 60 tahun.
“Dia meninggal di rumahnya pada waktu pagi selepas sarapan. Memang kecoh apabila dia tiba-tiba rebah,” katanya.
Katanya lagi, kekecohan berlaku dalam keluarga mereka sehingga urusan pengebumian jenazah tertangguh selama beberapa jam.
Sharif memberitahu, proses pengebumian kelam-kabut kerana hujan lebat dan liang lahad dipenuhi air seolah-olah memberi petanda buruk.
Jelasnya lagi, setelah urusan pengebumian selesai, semua yang hadir pulang termasuk anggota keluarga Pak Long Mat.
“Malam pertama selepas kematian Pak Long Mat, gangguan bermula di rumah pusaka miliknya. Mak Long Semah dan anak-anaknya seramai lima orang dan cucu 10 orang tidur dalam kepenatan, sebelum dikejutkan dengan ketukan pintu rumah bertalu-talu.
“Ketukan kuat pada pukul 12 tengah malam itu menyebabkan semua yang ada di dalam rumah terjaga. Apabila pintu rumah dibuka, tiada siapa di depan rumah tersebut,” katanya.
Sharif memberitahu, selang sejam dari ketukan pertama, pintu rumah pusaka tersebut diketuk dengan lebih kuat lagi.
Namun kali ini, anak sulung Pak Long Mat mencapai golok milik arwah bapanya untuk digunakan jika makhluk yang berada di luar rumah menyerang.
“Malangnya, tiada siapa di luar pintu. Keadaan ini menimbulkan perasaan takut dan amarah kepada semua anak dan cucu Pak Long Mat. Mak Long Semah menceritakan kepada saya, semua anak dan cucunya bergilir-gilir berjaga kerana bimbang ketukan misteri berulang kembali pada malam itu,” ujarnya.
Keesokan harinya, Mak Long Semah dan anak sulungnya berjumpa orang tua yang arif dalam ilmu perubatan tradisional untuk mengadu tentang peristiwa seram tersebut.
Orang tua itu berkata, peristiwa mistik tersebut berpunca daripada amalan Pak Long Mat yang terpesong daripada ajaran Islam.
“Makhluk pendamping tersebut yang mengganggu bukannya roh balik rumah tengok keluarga di rumah.
“Pak cik tua itu berkata, gangguan akan berlaku selama dua minggu, maka bersabarlah. Itu saja yang mampu dilakukan oleh keluarga malang tersebut,” katanya.
Cerita Sharif lagi, orang tua berpengalaman itu berkata, pendamping atau disebut sebagai pengapit merupakan perkara syirik yang menyekutukan Allah SWT.
Orang tua tersebut berkata, bagi memastikan keluarga Pak Long Mat tidak menjadi ‘mangsa’ gangguan sehingga memudaratkan diri, mereka dinasihatkan membaca al-Quran dan sentiasa beribadat.
Jelas Sharif, gangguan tersebut biasanya berlaku selepas waktu isyak sehingga tengah malam dalam masa dua minggu.
Peristiwa mistik yang berlaku itu mengingatkan Sharif kepada pengalaman dirinya bersama bapa saudaranya.
Jelas Sharif, bapa saudaranya memang kuat bekerja di kebun tanpa pertolongan Mak Long Semah atau anak-anaknya.
“Kebun sayur dan dusun duriannya sentiasa bersih. Pokok-pokok yang ditebang tanpa bantuan mesin, jentolak atau jengkaut.
“Ada juga saya dengar cerita budak kampung nampak dia mencabut tunggul pokok dengan tangannya,” katanya.














