fbpx
Pelaku mungkin menganggap ia remeh, namun hakikatnya tindakan si batu api boleh mencetuskan persengketaan. - Gambar hiasan

Bahana ‘si batu api’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GOLONGAN batu api berpotensi tinggi merosakkan reputasi dan hubungan baik dalam kalangan keluarga, tempat kerja atau masyarakat secara keseluruhannya.

Pelaku mungkin menganggap ia perkara remeh dan ‘sekadar gurauan’, namun hakikatnya tindakan si batu api atau penghasut ini boleh mencetuskan persengketaan.

Lebih malang, ia cenderung menghilangkan kepercayaan, menimbulkan curiga atau merenggangkan hubungan sehingga sukar untuk dipulihkan.

Si batu api memang merbahaya kerana golongan ini biasanya tidak mempamerkan tujuan mereka secara jelas dan bijak memanipulasi selain menegaskan, dia berkata benar serta ‘berniat baik’.

Gemar menabur fitnah di sebalik alasan ‘hanya bergurau’, mengadu domba, bergosip, mereka-reka cerita, malah adakalanya menunjukkan sikap seolah-olah prihatin atau peduli dengan memberikan ‘nasihat’, namun beragenda.

Pensyarah di Jabatan Bimbingan dan Kaunseling, Fakulti Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Dr. Mohammad Aziz Shah Mohamed Arip, berkata, golongan ini bijak berlagak seperti mangsa atau play victim.

“Si batu api ni biasanya berani di belakang, sangat takut di depan (berdepan), tetapi apa pun terjadi mereka tetap akan play victim, pusing-pusing cerita. Kita kena faham orang begini memang wujud.

“Batu api ni asasnya dia tak boleh tengok orang ‘lebih’ daripadanya, mereka jadi tak senang duduk. Dia mula nak jatuhkan, burukkan individu itu supaya orang lain tak suka dia,” katanya kepada Kosmo!.

Beliau berkata, golongan batu api ini juga gemar memperbesarkan kesalahan orang lain selain mempunyai kelebihan dalam meraih perhatian dan keyakinan umum.

“Orang mudah terkesan dan terpengaruh dengan cerita serta kata-kata si batu api. Adakala dia seolah-olah bercerita menunjukkan simpati terhadap kenalannya, tetapi hakikatnya sedang mewujudkan kebencian terhadap individu lain,” ujarnya.

Bagi menangani perkara berkenaan katanya, elakkan berkomunikasi dengan si batu api dan sentiasa tenang jika terpaksa berurusan dengan mereka.

Selain itu ujarnya, cuba jarakkan diri dan jangan terpengaruh dengan apa yang si batu api katakan selain kaji terlebih dahulu sama ada apa yang disampaikan betul atau tidak.

“Jangan mudah terhasut. Amalkan ‘masuk telinga kiri, keluar telinga kanan’ dan baik dengan semua orang. Jauhkan diri daripada mereka sebab nanti risiko kita cakap atau buat lain, lain pula yang disampaikan.

“Fikir kalau dia (golongan batu api) boleh cakap pasal perkara tak betul, laga-lagakan, hasut orang lain macam tu tak mustahil suatu hari nanti anda pula yang kena,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN