Saudara Pengarang,
Sesi persekolahan 2024/2025 yang bermula pada Mac lalu akan berakhir tidak lama lagi. Pelajar-pelajar akan mula bercuti sebelum memulakan sesi persekolahan 2025/2026 pada 17 Februari depan.
Bagi sesi 2024/2025, Kementerian Pendidikan (KPM) membenarkan pelajar memakai uniform atau pakaian seragam sekolah untuk dua hari diikuti pakaian sukan dua hari dan sehari baju kokurikulum.
Alhamdulillah, penetapan itu disambut baik, ketetapan yang menyenangkan pelajar mahu pun ibu bapa kerana tidak perlu bersusah payah mengosok uniform sekolah.
Para pelajar juga pastinya tersenyum kerana lebih bebas dengan pakaian sukan dan kokurikulum.
Bagaimanapun, sebagai bapa dan insan yang bangga memakai pakaian seragam sekolah suatu masa dahulu, rindu mahu lihat pelajar-pelajar mengenakan uniform putih.
Ini kerana, pakaian itu lebih formal serta menunjukkan disiplin tinggi dan persekitaran pembelajaran nampak lebih serius dan tenang.
Penulis pasti ada ibu bapa yang berfikiran sama dan juga sebaliknya.Benar, tahap pembelajaran tidak mengikut pakaian tetapi ia juga mampu membentuk disiplin.
Lebih cantik dan lebih kemas, mungkin boleh dipertimbangkan oleh pihak kementerian. Semoga penetapan pakaian sekolah boleh diumumkan lebih awal.
Kak Ita
Kuala Lumpur














