Setiap insan punya cerita tersendiri, begitu juga dengan Iman Qistina Aziza, 25, yang sedang mengatur langkah untuk menjadi peguam yang berjaya. Berasal dari Kuala Lumpur, Iman kini bekerja sebagai pembantu peguam di sebuah firma guaman, namun cita-citanya tidak berhenti di situ.
Lebih mesra disapa sebagai Iman atau Qis, wanita ini bercita-cita menyambung pengajian Kursus Latihan Profesional BAR di United Kingdom selepas menamatkan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Bristol.
Kepada Kosmo! Ahad, Iman berkongsi sedikit tentang perjalanan hidupnya, hobi tersembunyi, serta destinasi impiannya.
KOSMO! AHAD: Ceritakan sedikit tentang Iman?
Iman: Saya merupakan anak bongsu daripada dua beradik dan membesar di Kuala Lumpur. Sekarang saya bekerja sebagai pembantu peguam. Pada masa sama, saya aktif dalam media sosial sebagai content creator.
Saya kini bersiap sedia untuk menyambung pengajian di United Kingdom dalam bidang latihan profesional BAR. Saya memang mengidamkan untuk menjadi eorang peguam berjaya satu hari nanti.
Pengalaman yang paling berharga sepanjang belajar di luar negara?
Belajar di luar negara memang mencabar, tetapi ia mendidik saya menjadi lebih berdikari. Sebagai anak bongsu, sebelum ini banyak perkara saya bergantung kepada keluarga.
Namun, semasa di luar negara, saya belajar menguruskan hidup sendiri termasuk memasak dan menggunakan sistem pengangkutan awam di negara asing.
Aktiviti pagi yang buat Iman kekal positif?
Setiap pagi, saya akan mulakan hari dengan solat Subuh. Kemudian saya akan berjoging di taman berdekatan rumah. Aktiviti ini bukan sahaja membantu meningkatkan serotonin dalam badan, tetapi juga memberi ketenangan dan memulakan hari dengan fikiran yang lebih positif.

Kalau boleh melancong ke mana sahaja, apa destinasi impian Iman?
Destinasi impian saya adalah Itali, terutamanya Florence atau Amalfi Coast. Florence terkenal dengan seni bina Renaissance dan muzium seni yang penuh dengan sejarah, manakala Amalfi Coast memukau dengan pemandangan laut dan bangunan yang tersusun indah di lereng bukit.
Kombinasi seni, sejarah, dan pemandangan indah menjadikan Itali tempat sempurna untuk saya.
Hobi atau minat yang tidak ramai tahu tentang Iman?
Ramai yang tidak tahu saya sebenarnya minat melukis. Ibu selalu meluangkan masa bersama saya dengan melukis ketika kecil. Dia juga menghantar saya ke kelas seni untuk mengembangkan bakat. Namun, sejak saya mula sibuk dengan pelajaran dan kerjaya, saya sudah jarang melukis.
Siapa idola Iman dalam dunia hiburan atau fesyen yang selalu bagi inspirasi?
Salah satu idola saya yang memberi inspirasi terutamanya berkenaan fesyen ialah Kelsey Simone.
Dari gaya hidup serta fesyen terutamanya penggunaan warna dan elemen putih, memberi inspirasi untuk meningkatkan feminine energy melalui cara pemakaian saya.














