PETALING JAYA – Seorang wanita mendakwa pekerjanya menjadi mangsa penipuan melibatkan penggunaan ilmu hitam selepas kehilangan barang kemasnya.
Menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) berdurasi satu minit 21 saat yang dikongsi di TikTok oleh Butiksabrieynaina, kejadian bermula apabila seorang wanita mendekati mangsa dengan alasan mahu membeli minyak wangi sebagai beg cenderamata atau ‘goodies bag’.
Sementara itu, suspek turut menunjukkan wang tunai sebanyak RM3,000 yang berada dalam beg tangannya, membuatkan mangsa tidak curiga dengan tindakannya.
Mangsa menyatakan bahawa dia terlalu seronok berbual sehingga tidak sedar rantai, cincin, dan gelang emasnya telah diambil suspek. Setelah memperoleh barang kemas, suspek memberi alasan mahu ke bank tetapi terus melarikan diri.
Insiden itu menarik perhatian ramai di media sosial, dan ada juga netizen yang turut berkongsi pengalaman serupa.
“Suami saya baru sahaja terkena semalam. Seorang lelaki datang dan tiba-tiba suami saya buka beg serta menyerahkan wang. Bila ditanya, suami tak kenal siapa lelaki itu,” kongsi Ninie.
Anne pula menambah, “Ibu saya pernah dipukau oleh dua lelaki berkopiah yang awalnya ingin menjual ayam. Beg tangan dan barang kemas semuanya hilang.” –KOSMO! ONLINE