fbpx
TENDI menyifatkan pendakian Gunung Everest memerlukan persediaan mental dan fizikal yang mencukupi kerana begitu mencabar.

Malim Gunung Everest, 17 kali tawan puncak tertinggi dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENAWAN puncak Gunung Everest di Nepal yang berketinggian 8,848 meter bukanlah satu perkara yang mudah.

Pendaki perlu mempertaruhkan nyawa mereka untuk menawan puncak tertinggi di dunia itu.

Ada yang pulang dengan selamat, tetapi ada juga yang terkorban dalam perjalanan sehinggakan jasad mereka bersemadi di gunung tersebut buat selama-lamanya.

Berkongsi pengalaman itu, malim Gunung Everest, Tendi Sherpa, 41, berkata, menawan puncak Everest bukanlah satu kerja yang mudah.

Menurut lelaki berasal dari Nepal itu, pendaki akan berasa seperti berada di medan perang ataupun sedang berperang dengan sesuatu ketika di gunung tersebut.

“Anda tidak pasti sama ada dapat pulang ke khemah dengan selamat atau tidak.

“Setiap pagi, apabila meninggalkan khemah untuk ke puncak gunung, saya menyentuh beg tidur dan berdoa agar dapat kembali untuk tidur di situ lagi,” katanya.

Tambahnya, setiap langkah untuk menuju ke puncak Gunung Everest penuh dengan risiko.

Apa-apa sahaja boleh berlaku kerana di atas gunung itu, pendaki adalah sangat kecil.

Tendi turut memaklumkan, sebelum mendaki ke puncak Everest, dia akan melakukan upacara berdoa di ‘base camp’ untuk keselamatan laluan dan kejayaan pendakian.

Tendi berkongsi kisah tersebut pada satu sidang media anjuran Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dengan kerjasama Universal Fitness & Leisure Sdn. Bhd. (UFL) di Wisma UFL, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hadir sama dalam sidang media itu Pengarah Urusan UFL, Datuk Radha Krishnan, Pengarah Bahagian Forest Eco-Park & Hutan Taman Negeri Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Mohd. Yussainy Md. Yusop dan Pengerusi Eksekutif UFL, Datuk Malek Noor.

Menurut Tendi, bertugas sebagai malim gunung membolehkannya menawan puncak Everest sebanyak 17 kali.

Tendi berjaya menawan puncak Everest buat kali pertama pada tahun 2004.

TENDI (dua dari kiri) menerima cenderamata daripada Radha (tengah) sambil disaksikan oleh Malek (kanan).

Kemudian, dia menjadi malim gunung berkelayakan dan kini menghabiskan 20 tahun atau sebahagian besar hidupnya membimbing pendaki ke puncak Everest.

“Saya tidak menyangka akan sampai ke puncak ketika mula-mula mendaki, tetapi sudah tentu ia menjadi sesuatu yang sangat penting.

“Untuk malim gunung, sampai ke puncak Gunung Everest sekurang-kurangnya sekali adalah sangat penting dan berharga.

“Ini kerana, apabila kami sampai ke puncak Everest, ia akan membuka pintu buat kami membina kerjaya sebagai malim pendakian di altitud tinggi,” katanya yang fasih dalam 10 bahasa seperti Perancis, Sepanyol, Portugis dan lain-lain lagi.

Tambahnya, apabila ingin menjadi malim gunung, majikan akan tanya sama ada anda sudah sampai ke puncak Gunung Everest atau belum.

Tendi yang dilahirkan di Kampung Saisima di Lembah Khembalung, timur Nepal memulakan kerjanya ‘berkisar gunung’ pada usia 13 tahun.

Pada usia yang begitu muda, dia pergi ke Kathmandu buat pertama kali untuk mencari pekerjaan sebagai ‘porter ‘atau pengangkat barangan untuk pendaki.

“Laluan pertama saya sebagai ‘porter’ adalah sekitar Annapurna.

“Saya perlu membawa beban sehingga 43 kilogram (kg) dalam tempoh 15 jam hampir setiap hari.

“Itulah cara saya memulakan perjalanan sebagai ‘porter’ sebelum menjadi malim gunung,” jelasnya.

Peluang pertamanya mendaki Everest hadir ketika berusia 19 tahun.

Ketika itu, dia menyertai ekspedisi para pendaki Jepun yang menganjurkan kempen pembersihan di Gunung Everest.

Dalam tempoh 90 hari, mereka dapat membersihkan hampir 2.5 tan sampah dari Gunung Everest.

“Banyak sampah di kawasan gunung yang ditinggalkan dan kami melakukan kerja pembersihan yang hebat pada masa itu.

“Dari situlah, saya memulakan perjalanan sebagai malim gunung di Everest.

“Kemudian pada 2004, ketika berusia 20 tahun, saya sampai ke puncak Everest buat pertama kali, sebelum menjadi malim gunung berkelayakan,” terangnya.

Berkongsi pengalaman sebagai pengendali perkhidmatan jurupandu gunung, Tendi memaklumkan, keselamatan pendaki merupakan perkara utama.

Cerita Tendi, pada 2004, dia hampir mati ketika mendaki gunung apabila jatuh pada ketinggian 250 meter.

“Namun, saya bernasib baik apabila tersangkut di tebing dan tidak terjatuh ke dalam lubang ais yang sangat dalam.

“Sejak itu, saya menjadi lebih peka tentang aspek keselamatan. Jadi, selepas menjadi malim gunung, saya perlu mengutamakan keselamatan pendaki,” terangnya.

Tendi memaklumkan, dia pernah menolak pelanggan yang ingin mendaki Everest selepas membuat penilaian berkaitan latihan dan pengalaman pendaki meskipun ia akan menyebabkan kerugian kepadanya.

“Ramai menganggap jika ada wang, mereka boleh menawan puncak Gunung Everest.

“Itu tidak benar. Untuk menawan puncak gunung ini, pendaki berhadapan dengan cabaran besar dan perlu melakukan persediaan mencukupi.

“Setiap pendaki yang datang untuk mendaki Gunung Everest perlu bersedia dari segi mental dan fizikal, di samping mempunyai pengetahuan luas tentang mendaki gunung,” jelasnya.

Tambahnya, dia juga pernah melihat ada pendaki yang datang dengan latihan yang tidak mencukupi sehingga memberi masalah kepada malim.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN