MENGIKTIRAF individu-individu berpengaruh yang melakar kejayaan dalam bidang masing-masing sememangnya dilihat sebagai suatu langkah yang wajar kerana boleh dijadikan inspirasi.
Begitu juga golongan usahawan atas pencapaian hebat mereka agar mampu mengukuhkan lagi kedudukan jenama perniagaan masing-masing.
Bertunjangkan objektif tersebut, The Knights Award menjadi satu bentuk acara penghargaan yang dianjurkan untuk mengiktiraf kejayaan tokoh-tokoh serta para usahawan bukan sahaja di peringkat Asia, bahkan global.
The Knights Award 2024 Musim Ketiga – Edisi Global baru-baru ini dianjurkan penuh gemilang di Dewan Filharmonik Petronas, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Bagi penganjuran kali ini, seramai 44 personaliti dan syarikat dari dalam dan luar negara telah diberikan penganugerahan mengikut bidang serta cabang kejayaan masing-masing.
Presiden The Knights Award, Dr. Zyro Wong berkata, The Knights Award 2024 Musim Ketiga – Edisi Global itu meliputi tiga kategori anugerah iaitu Duke, Earl dan Baron.
Jelasnya, anugerah tersebut mengiktiraf usaha cemerlang dan sumbangan individu bukan saja kepada pertumbuhan ekonomi negara ini tetapi juga seluruh Asia dan global.
“Sejajar misi, kami dengan bangganya menyepadukan matlamat rancangan Malaysia Madani ke dalam The Knights Award.
“Anugerah ini boleh menjadi satu kerjasama strategik yang bertujuan untuk memartabat Malaysia di persada antarabangsa sebagai pusat kecemerlangan dan inovasi,” katanya.

Tambah Zyro, visinya juga adalah untuk merentasi sempadan negara yang bertujuan membina ekosistem perniagaan teguh serta membolehkan usahawan membentuk jaringan kerjasama.
Jelas Wong, kategori Duke merupakan anugerah berdaulat yang mengiktiraf pencapaian luar biasa oleh individu dan syarikat korporat dalam bidang masing-masing.
Lebih membanggakan, lebih 30 peratus pemenang anugerah tahun ini terdiri daripada bakat antarabangsa sekali gus mencerminkan impak global The Knights Award yang dianjurkan sejak tahun 2022 itu.
Individu yang menerima anugerah itu ialah penyanyi antarabangsa Amerika Utara yang popular dengan lagu Bad Day, Daniel Powter; ikon fesyen ternama negara, Datuk Seri Bernard Chandran; pereka pewangi legenda sepanjang zaman, Dr. Yusuf Bhai dan pelakon veteran Hong Kong, Law Lan (Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat – Wanita Ikonik Timur).
Bagi kategori korporat pula, penerima Anugerah Duke ialah Astro, Welcome2Print Sdn. Bhd., KL Tower dan lain-lain lagi.
Sementara itu, bagi kategori Earl, anugerah itu diberi atas sumbangan dan pencapaian individu dan syarikat. Penerimanya seperti Lara Maigue dari Filipina; Putri Ariani dari Indonesia; Enkh-Erdene
Otgonbaatar dari Mongolia dan ikon-ikon tempatan seperti Goh Liu Ying, Tan Sri Mohd. Bakri Mohd. Zinin, Mee Hiris China Muslim, KL Hop On Hop Off dan banyak lagi.
Bagi kategori Baron, anugerah itu diberikan kepada mereka yang semakin meningkat naik dan menjadi perintis industri. Antara penerimanya ialah Syed Farouq (Malaysia), Fatemeh Shadmanizadeh (Iran); Peter Rosalita (Abu Dhabi, UAE). The Joi (Thailand), Lesung Saigon (Vietnam), Ninja Private Kitchen dan beberapa lagi.
Dalam pada itu, Bernard yang menerima anugerah bagi kategori Duke untuk individu menyifatkan penganugerahan itu sebagai satu kenangan manis dan paling berharga baginya sepanjang kariernya bergelar pereka fesyen.
“Anugerah ini begitu istimewa buat saya dan ia bukti kepada perjalanan karier fesyen saya selama ini,” katanya ringkas.














