Pengalaman membonceng Vespa milik bapanya sejak kecil ternyata mendorong minat Farid Abdu Latif, 40, yang akhirnya menjadikan penjagaan motosikal klasik itu sebagai hobi sejak lebih tiga dekad lalu.
Sejak zaman persekolahan lagi, kekagumannya terhadap Vespa antik jenama Piaggio keluaran Itali yang turut mendapat jolokan ‘Vespa Ayam Bapak’ atau ‘Vespa Jobot’ itu sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.
Lebih menarik, motosikal skuter klasik berusia lebih 59 tahun itu diserahkan kepadanya untuk menyertai pelbagai festival atau konvoi selain turut dipertandingkan mengikut kesesuaian kategori sebagai sebahagian aktiviti bagi mengisi masa lapang.
“Sebenarnya saya memang amat meminati motosikal klasik ini dan paling penting, ia adalah unit asli serta tidak pernah dinaik taraf.
“Untuk pertandingan, selalunya saya akan daftarkan dalam kategori asli atau ‘original’ kerana ia masih mengekalkan warna, bentuk dan rekaan lama.
“Biarpun warna cat semakin memudar dan ada juga karat di beberapa bahagian, saya tekankan penjagaan rapi supaya kekal autentik,” katanya yang ditemui Panorama pada program MBG Vespa Lambretta Jamboree (MBGVLJ) 2024 di Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Anak jati Sungkai, Perak yang bekerja sebagai tukang kebun sekolah itu menekankan, antara tip penjagaan yang dipraktikkan ialah Vespa itu akan diparkir di dalam rumah bagi mengelakkan kerosakan.
“Kalau parkir di luar rumah, saya risau kucing akan kencing dan akan membuatkan karat semakin melarat, selain tempat duduk juga berkemungkinan akan dicakar.
“Saya juga rajin basuh motosikal ini, namun hanya akan lap sehingga kering sahaja tanpa menggilap atau ‘polish’. Selalunya semasa hujung minggu akan dikhususkan untuk mencuci dan periksa apa yang patut supaya kekal terjaga,” katanya.
Bapa dua anak ini mengakui, dirinya menyukai cabaran dan tidak kisah bergerak sendirian dari kediamannya di Batu Kurau untuk menyertai konvoi atau program yang dijalankan di luar negeri itu.

“Vespa ini masih utuh, malah boleh bergerak dengan kelajuan 100 kilometer sejam dan itu membuatkan saya yakin untuk menunggangnya bagi perjalanan jarak jauh.
“Saya pernah tunggang sendirian hampir 10 jam ke Kuantan, Pahang namun momen yang tidak dapat dilupakan apabila ketika sampai di sana, program sudahpun tamat.
“Bagaimanapun, kejadian seumpama itu tidak mematahkan semangat saya kerana saya memang suka sertai program seumpama ini untuk mencari kawan baharu serta bertukar pandangan sekali gus menambahkan ilmu pengetahuan dalam industri permotoran,” katanya.
Bagi ahli perniagaan online, Azizul Hakimi Nordin, 40, berkata, motosikal skuter Innocenti Lambretta Li 150 Frame Breather 1958 yang diwarisi daripada bapanya adalah salah satu model klasik yang dimilikinya.
Katanya, skuter itu antara yang paling popular dibawa untuk menyertai pameran atau pertandingan sama ada di dalam dan luar negara.
“Bagaimanapun, saya selesa tidak menunggangnya, sebaliknya dibawa menggunakan kenderaan pacuan empat roda kerana lazimnya saya datang ke program bersama keluarga.
“Saya memang minat skuter klasik sejak zaman kanak-kanak, malah bapa dan datuk juga berkongsi minat sama. Justeru, Lambretta yang diturunkan kepada saya ini sememangnya istimewa dan dijaga rapi bagi mengekalkan keasliannya,” katanya.
Tambahnya, dia pernah ditawarkan sebanyak RM85,000 oleh seorang individu yang mahu membeli Innocenti Lambretta Li 150 Frame Breather 1958 miliknya, tetapi tawaran itu ditolak.
“Skuter antik ini sudah seperti ahli keluarga, memang saya sayangkannya dan tidak akan menjualnya.
“Ia bukan sekadar hobi, malah saya percaya setiap individu yang berkongsi hobi sama akan memiliki perasaan sama seperti saya,” ujarnya yang turut mempunyai enam motosikal skuter klasik lain.














