KEHADIRAN juara dunia seni bela diri campuran (MMA), Khabib Nurmagomedov ke Malaysia baru-baru ini sepatutnya menjadi satu pencetus dalam membina semangat pejuang Islam kepada kita.
Bukan kerana ‘title’ yang dimiliki beliau sahaja yang patut menjadi dambaan semua, tetapi bagaimana jaguh itu memperjuangkan maruah dan masej beliau dalam mencipta semangat berjuang demi agama yang dibawa beliau selama ini.
Dengan karekter berani, tenang dan positif yang sering ditonjolkan dalam setiap perlawanan, pemilik nama asal Khabib Abdulmanapovich Nurmagomedov ternyata membawa sesuatu dalam setiap pertarungan pahlawan dari Dagestan, Russia ini.
Menyelusuri kehidupan Khabib, dia telah dilahirkan pada 20 September 1988 di Sildi, Dagestan dan dibesarkan dalam keluarga yang sangat menitikberatkan nilai disiplin dan latihan fizikal.
Bukan hanya menumpukan sahaja dalam dunia sukan, bahkan Khabib turut mempunyai ijazah dalam bidang ekonomi, menunjukkan beliau mementingkan pendidikan walaupun sibuk dengan latihan.
Salah satu pencapaian terbesar Khabib adalah rekod tanpa kalahnya 29-0, sebelum beliau mengumumkan persaraan. Rekod ini bukan sahaja mengukuhkan statusnya sebagai legenda UFC tetapi juga menunjukkan dedikasi dan ketekunan yang luar biasa dalam kariernya.
Malah, kemenangan ke atas Conor McGregor pada tahun 2018 menjadi salah satu perlawanan paling diingati dalam sejarah UFC.
Sebagai seorang Islam yang setia, Khabib sentiasa menunjukkan nilai-nilai Islam dalam kehidupannya. Beliau sering bercakap tentang pentingnya iman, disiplin, dan menghormati orang lain.
Khabib juga tidak pernah lupa untuk berterima kasih kepada Tuhan selepas setiap kemenangan, menunjukkan kerendahan hatinya.
Ternyata, lelaki berusia 36 tahun itu telah menjadi ikon inspirasi bagi ramai Muslim di seluruh dunia. Kejayaannya dalam sukan dan kehidupan peribadi menunjukkan seseorang boleh berjaya tanpa mengorbankan nilai agama.
Khabib dalam satu siri wawancara di sebuah televisyen menjelaskan, nabi terakhir Muhammad SAW merupakan contoh dan pegangan yang membuatkan beliau berjaya dalam perjuangan syiar Islam melalui perjalanan sukannya.
Jelas Khabib, beliau tidak boleh disamakan dengan petinju legenda Muhamad Ali yang dikatakan sebagai atlet Muslim paling berjaya dalam sejarah dunia, katanya orang ramai boleh mencontohi mereka berdua tetapi paling agung adalah mencontohi Rasulullah.
“Boleh untuk mencontohi kami, tetapi kami mencontohi Nabi Muhammad. Baginda membuktikan kejayaan ini bermula dari usaha keras. Untuk memperolehi usaha keras itu, baginda akan berdoa sekeras-kerasnya.
“Sebagai contoh, setiap hari kita akan lalui segala macam dugaan dan cabaran, ada yang bermasalah dari segi kewangan, ada yang sakit dan berpisah dengan pasangan tetapi nabi kita lagi banyak dugaan dan cabaran yang dihadapi.
“Bagaimana dia diancam bunuh, keluarga serta sahabat meninggal dunia di depan mata. Tetapi baginda tetap positif, tetap bekerja keras dalam menyampaikan suruhan Allah,” jelasnya.














