SELARAS ke arah elektrifikasi dan kelestarian, Volvo Car Malaysia telah melancarkan kenderaan elektrik (EV) terbaharunya, Volvo EX30.
Setiap langkah yang diambil untuk mereka bentuk EX30 mempunyai impak besar bukan sekadar sebuah EV yang menawarkan tahap keselamatan dan pecutan terbaik.
Binaan EX30 yang merupakan kenderaan utiliti sukan (SUV) paling kecil dalam model EV Volvo itu juga direka menggunakan bahan kitar semula dan boleh diperbaharui.
EX30 juga merupakan kenderaan dengan jejak karbon terendah (lowest carbon footprint) dalam sejarah Volvo iaitu kurang daripada 30 tan pelepasan karbon sepanjang 200,000 kilometer (km) pemanduan.
Bagi pasaran tempatan, EX30 ini ditawarkan dalam tiga varian iaitu EX30 Plus pada harga RM188,888 atas jalan tanpa insurans, EX30 Ultra (RM208,888) dan versi paling berkuasa EX30 Ultra Twin Performance (RM228,888).
Dari segi rekaan, model EV ini nampak ‘simple’ tetapi menarik berasaskan signatur utama sebuah Volvo iaitu lampu hadapan dengan lampu nyalaan siang LED berbentuk ‘tukul Thor’.
Sementara itu, bahagian lampu belakang berbentuk seperti C yang bersambung dengan jalur LED nipis menjadikan ia seperti bentuk berkotak dengan lencana Volvo di tengahnya.
Ia diperkemas dengan rim aloi ‘diamond cut’ bersaiz 19 inci bagi kesemua tiga varian EX30.
Saiznya yang tidak terlalu kecil dan besar amat praktikal serta mesra bandar dengan dimensi 4,233 milimeter (mm) panjang, 1,837mm lebar dan jarak roda sejauh 2,650mm.

EX30 bukan sahaja padat dengan teknologi, tetapi turut menawarkan tahap keselamatan yang sangat tinggi, seiring dengan visi Volvo untuk memberi pengguna kebebasan bergerak secara peribadi, lestari dan selamat.
Semua varian EX30 ditawarkan dengan pilihan warna luaran Cloud Blue, Vapour Grey, Crystal White dan Onyx Black.
Lebih menarik, warna unik Moss Yellow yang diilhamkan oleh lumut tumbuh di sepanjang pantai barat Sweden tersedia secara eksklusif untuk kedua-dua varian Ultra bagi tempoh terhad di Malaysia.
Dari segi kuasa, varian EX30 Plus dan EX30 Ultra menggunakan motor elektrik tunggal pada roda belakang (RWD) menghasilkan kuasa 272hp dan tork 343Nm.
Ini membolehkan kedua-dua varian ini memecut dari pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 5.3 saat.
Varian teratas EX30 Ultra Twin Performance pula menggunakan dua motor elektrik yang menjana kuasa 428hp dan tork 543Nm, membolehkan pecutan sifar hingga 100 km/j dalam masa hanya 3.6 saat.
Ketiga-tiga varian ini dibekalkan dengan bateri yang sama iaitu bateri Nickel Manganese Cobalt (NMC) berkapasiti 69kWh yang memberikan jarak sehingga 476 kilometer untuk varian motor tunggal dan 450 kilometer untuk Ultra Twin Performance.
EX30 mampu dicas pantas menggunakan pengecas arus terus (DC) 175 kilowatt (kW) dari 10 hingga 80 peratus dalam masa hanya 28 minit.
Meninjau ke ruangan kabin, bahagian dalaman EX30 diilhamkan oleh alam semula jadi dengan reka bentuk Scandinavia yang bersih dan minimalis sambil mengekalkan gaya premium.

Semua varian dipadankan dengan kabin berwarna Indigo yang menampilkan upholsteri gandingan fabrik dan kulit sintetik Nordico serta panel-panel kemasan denim yang dihasilkan daripada bahan kitar semula dan juga liang udara berwarna biru.
Kabin EX30 ini juga direka bagi menampilkan ruang storan yang versatil, tetapi dalam masa sama mengurangkan penggunaan pelbagai komponen.
Misalnya, untuk sistem audio premium Harman Kardon pada SUV ini menampilkan soundbar yang dihasilkan secara binaan dalam pada papan pemuka bagi menggantikan pembesar suara pada pintu depan tipikal di mana bahagian tersebut dihasilkan dengan ruang storan lebih besar.
Aspek keselamatan sentiasa menjadi keutamaan Volvo, EX30 apabila dilengkapi teknologi terkini termasuk sistem parkir automatik, antara muka intuitif dengan Google Built-in, sistem ‘Pilot Assist’ yang dinaik taraf dan kesedaran sekeliling 360 darjah yang lebih selamat serta dibantu oleh kamera, sensor dan radarnya.
Ciri lain ialah bumbung panaromik untuk varian Ultra dan Ultra Performance yang memberikan pengalaman pemanduan menarik kepada pemandu dan penumpang.
Kesimpulannya, Volvo EX30 dilihat boleh memberi saingan kepada model EV keluaran jenama automatif lain yang setaraf dengan harga kompetitif.
Walaupun prestasi dan reka bentuknya menarik, pilihan ini lebih sesuai untuk mereka yang menghargai jenama Volvo serta mementingkan keselamatan dan aspek kelestarian.
Namun, rekaannya yang menarik dengan warna unik boleh memikat golongan muda untuk beralih kepada Volvo yang diyakini sejak dulu dari segi tahap keselamatan dan pecutan kenderaannya.














