PETALING JAYA – Aspek penguatkuasaan dan tindakan lebih tegas perlu diambil terhadap mana-mana guru yang dikesan dan didapati bersalah melakukan penipuan atau memalsukan sijil cuti sakit (MC) dan cuti kecemasan.
Bekas Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Jasni Md. Kechik berkata, sekarang ini adalah zaman penguatkuasaan dan bukannya lagi era di mana ‘kita hanya memberi khidmat nasihat’.
“Ia bukan zaman ‘dingdong’ yang mana kita tidak pedulikan kepada hal-hal seperti ini. Perdana Menteri pun tidak mahu perkara seperti ini berlaku.
“Kalau pengetua dan guru besar terlibat, ambil tindakan juga dan pastikan tiada yang terkecuali. Unit integriti ada dan apa yang penting, kita tidak mahu anak murid terkesan disebabkan budaya seperti ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai pendedahan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) kepada Kosmo! yang menjelaskan golongan pendidik paling ramai terlibat menipu dan memalsukan MC dalam kalangan penjawat awam.
Jasni menegaskan, pihak yang terlibat dalam memberi atau meluluskan sijil cuti sakit palsu juga perlu dikenakan tindakan tegas agar budaya seperti ini dapat dibendung di peringkat awal.
“Pengamal perubatan perlu lebih berhati-hati memberi sijil sakit kepada pesakit supaya ia lebih dipercayai dan sah untuk digunakan,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Juhari Mohamad Nor berkata, tindakan yang dikenakan terhadap guru terlibat bergantung kepada bukti dikemukakan selain hasil siasatan yang dibuat pihak pengurusan dan pentadbiran.
“Kena buang kerja, gantung kerja atau potong gaji bergantung kepada kes dan keputusan akhir siasatan.
“Bagaimanapun, kes begini adalah terpencil. Biasanya tidak berlaku secara berterusan tetapi pernah terjadi dan kesalahan itu dapat dikesan. Jadi, pihak terbabit diminta bayar semula gaji hari cuti sakit tipu terbabit,” katanya.
Untuk rekod, antara tindakan lain yang boleh diambil adalah pihak sekolah membuat laporan polis sekiranya sijil cuti sakit berkenaan diperoleh daripada sindiket menjual sijil cuti sakit.
Mengulas lanjut, Juhari bagaimanapun meminta Cuepacs supaya memperincikan maklumat tentang statistik guru yang dikatakan paling ramai terlibat dalam salah laku memalsukan sijil cuti sakit.
Katanya, perkara itu penting bagi tujuan analisa maklumat, sekali gus mengelakkkan persepsi buruk terhadap para guru.
“Berita ini amat mengejutkan sebab kita tak menyangka berlaku pemalsuan dalam kalangan warga guru paling ramai. Kita terima dengan hati terbuka, tetapi minta semak semula data tersebut.
“Bukan sekadar statistik, kita nak minta data tepat daripada Cuepacs juga contohnya kategori umur guru yang dikatakan banyak terlibat kerana jika tidak, masyarakat akan buat persepsi sendiri,” katanya.
Beliau berkata, maklumat dan perincian berkenaan juga dapat membantu pihak pentadbir sekolah, Pegawai Pendidikan Daerah dan Kementerian Pendidikan (KPM) melakukan penambahbaikan.















