PETALING JAYA – Kuasa membeli yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia di platform media sosial terutamanya TikTok menjadi antara punca banyak syarikat terkenal mendapatkan khidmat hos tempatan bagi melariskan jualan mereka.
Seorang wakil syarikat pencarian hos TikTok dikenali William berkata, permintaan terhadap kerjaya sebagai hos jualan produk di saluran secara langsung TikTok sebenarnya mula meningkat sejak 2021.
Permintaan tersebut semakin mendapat tempat apabila banyak syarikat perniagaan produk dari China memilih Malaysia sebagai hub mereka untuk memasarkan produk masing-masing.
“Mereka akan minta syarikat seperti kami untuk mencari bakat sebagai hos bagi tujuan menjual produk mereka di sini.
“Sebagai syarikat yang dilantik, kami akan mengikat kontrak dengan beberapa syarikat jualan produk dari China yang akan mempromosikan dan menjual produk mereka di Malaysia.
“Ruang pejabat akan disediakan beberapa bilik studio yang lengkap dengan pencahayaan, kamera video dan pelbagai lagi perkakas teknikal untuk merakam video secara langsung setiap hari,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Tambahnya lagi, kerjaya ini juga bakal berkembang dalam tempoh lima tahun berdasarkan perkembangan ekonomi dari negara China yang semakin baik.
“Dengan kadar upah atau gaji yang agak lumayan dan tiada syarat tambahan terutamanya pengalaman kerja, semestikan kerjaya sebagai hos jualan akan terus menjadi pilihan orang muda,” ujarnya.














