JERANTUT – Durian emas berjaya didaftarkan sebagai durian kampung premium (DKP) pertama di daerah ini dengan nama DAF1, sekali gus mendahului pendaftaran damak king yang turut terkenal di daerah ini.
Keenakan durian yang ditanam di kawasan berbukit di kaki Gunung Benom itu membuatkan ia menjadi tarikan kerana kemanisannya kekal meskipun selepas buah itu habis dimakan selain baunya yang wangi.
Pemilik DAF1, Mohd. Idafi Mohd. Roseli berkata, pada masa ini terdapat kira-kira 15 batang pokok durian DAF1 dengan nombor pendaftaran D231 yang berusia kira-kira 30 tahun.
“Pokok asalnya hidup sendiri di dalam hutan dan apabila orang kampung teroka Kampung Ulu Cheka, memang pokok itu masih hidup, tetapi arwah ayah saya biakkan dengan kaedah kahwin pucuk baji dan ditanam ke kawasan ini.
“Memang sejak dahulu ia menjadi rebutan penggemar durian kerana isi kekuningan serta tebal dengan rasa lemak manis dan pahit-pahit,” katanya ketika ditemuk di sini semalam.
Menurutnya, pada masa ini, setiap pokok durian DAF1 menghasilkan purata 100 hingga 150 biji setiap kali musim dengan berat melebihi dua kilogram sebiji.
Katanya, permintaan yang diterima daripada orang ramai amat menggalakkan sekali sehingga ia tidak mencukupi bagi menampung permintaan.
Sementara itu, Pegawai Pertanian Daerah Jerantut, Rafeah Rabiatun Othman berkata, DAF1 yang mempunyai ‘wow’ faktor berjaya didaftarkan pada awal tahun ini, sekali gus menjadi buah durian kampung pertama didaftarkan di daerah ini.
Katanya, buah tersebut telah berjaya dilakukan pencirian termasuk syarat sekurang-kurangnya mempunyai lima pokok yang berbuah dengan ciri sama.
“Pada masa ini, kami sedang giat melakukan pencirian ke atas durian damak king bagi mendaftarkan durian berkenaan sebagai durian kampung premium dalam masa terdekat,” ujarnya.














