PETALING JAYA – Dikritik jari kekuningan, pelakon Amyza Aznan menjelaskan kesan tersebut berpunca daripada kesibukannya memasak di dapur menyediakan juadah buat anak-anak sebelum keluar meninggalkan rumah.
Amyza, 50, memaklumkan dia lebih selesa menyediakan hidangan buat seisi keluarga bagi memantau tahap kesihatan makanan yang diambil terutama buat anaknya, Adrian Adam yang menghidap kanser tulang.
“Ya, saya masak dulu sebelum tinggalkan anak-anak.
“Adrian Adam itu saya kena masak sendiri sebab kalau beli takut ada monosodium glutamat (MSG).
“Dia semua kena makanan sihat,” katanya dalam InstaStory.
Sebelum ini, seorang pengguna media sosial mengkritik jari-jemari pelakon drama Rindu Kasih yang dikatakan kekuningan.
“Jari-jari dan kuku kuning, goreng ayam ke?,” ujarnya.
Perkara tersebut dipersoalkan dalam sebuah video temu bual selepas program Kilauan Emas Selebriti 2026 (KE2026) pada minggu pertama.
Amyza merupakan antara peserta yang berentap dengan sembilan lagi bintang lain seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Mubarak Majid dan Fazlina Ahmad Daud.
Lima lagi peserta ialah Khaty Azian, Rahim Omar, Maria Tunku Sabri, Zila Bakarin dan Rashdan Baba. – KOSMO! ONLINE
















